Saturday, December 26, 2009

Mak Dah Setuju!! Yey.....


Alhamdulillah.. Malam ini emak saya menyatakan persetujuan untuk membenarkan saya menyambung pelajaran ke peringkat Master. Semua ini telah saya fikirkan tetapi masih belum 'masak' lagi. Terlalu banyak dugaan yang saya hadapi, dan saya tidak mungkin dapat lakarkan di sini. Cukuplah sekadar saya memberi alasan bahawa saya menyambung belajar untuk menambahkan ilmu di dada. Selebihnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu sebab saya ingin membawa diri.
Namun, semua ini bukan lagi muktamad kerana saya harus juga menilai persediaan diri nanti. Saya harus bekerja keras untuk mencari wang perbelanjaan sendiri. Saya sudah besar dan tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain. Hanya Tuhan yang akan memberi petunjuk ke atas keputusan saya nanti.
"Sambung atau tidak?"
Ah, sukar sekali untuk membuat keputusan. Pokok utama, emak saya dah pun merestui pilihan saya. Saya pasti dia faham kedukaan hati saya saat ini. Saya harus berjuang.
Saya tidak betah untuk terus menghadapi semua ini dan atas sebab itulah saya harus dipimpin oleh emak, keluarga dan teman-teman. Emaklah tunjang kekuatan saya. Baru saya sedar, bahawa selama ini saya telah banyak mendukakan hatinya. Maafkan kak.
Cuma, saya terfikir juga 'Kalau hendak buat Master, apa tajuk saya nanti?'
Yang pastinya minat saya cenderung dalam bidang penulisan. Apakah itu arah tuju saya?
Entahlah... Semuanya bukan dalam ketentuan kita. Kita hanya merancang. Saya amat berharap yang keputusan saya ini tidak salah. Saya tahu emak risaukan saya kerana masih belum mempunyai pekerjaan. Yalah, saya seorang sahaja anak perempuan dan tentu sekali emak risaukan masa depan saya. Kalau saya dah dapat kerja, tidak perlulah saya menyusahkan emak untuk memikirkan saya lagi.
Cukuplah dengan segala pengorbanan emak kepada saya semenjak dari kecil. Sudah terlalu cukup.
Terima kasih kerana membaca 'Mak dan setuju!! Yey....'
Saja nak berkongsi kegembiraan.. Lagipun restu mak tu penting kan?

Wassalam..

Kucing saya yang nakal - AeChot

Tuesday, December 22, 2009

Penempatan Pekerjaan

Semalaman saya tidak tidur kerana mempersiapkan diri untuk menghadapi hari 'Penempatan Pekerjaan' di Perlis ini. Saya menyusun semula sijil-sijil termasuklah membuat salinan serta memfailkannya. Semuanya lengkap, sehinggalah saya mentelaah nama-nama menteri. Memang tidak tidurlah kerana bimbang sukar untuk bangun semula.
Pagi-pagi lagi kawan saya sudah telefon, bimbangkan saya. Saya bersama seorang lagi kawan meredah pukul 9 pagi itu untuk ke satu tempat yang jarang kami pergi walaupun Perlis ini kecil cuma. : )
Kami tersesat sampai ke kilang gula. Mujurlah teman saya ini jenis yang suka bertanya, maka senanglah kami sampai ke tempat yang ingin ditujui. Di kawasan Chuping, tentu sekali perjalanan hanya berlatarkan pemandangan hijau iaitu pokok tebu, dan getah. Bagi saya cukup membosankan kerana sunyi dan sepi tetapi dari segi lain, saya suka juga kerana di tempat-tempat lain tiada yang seperti di Chuping ini. Unik. Kawasan pertanian yang luas sangat.
Berbalik cerita saya tadi, saya dan teman saya ini berbincang, "Kalau jawatan tu tak sesuai?" tanya saya sambil mula mengagak sesuatu dalam fikiran.
Teman saya tenang sahaja sambil memandu.
"Kita baliklah." dia tersenyum.
Lega hati saya kerana saya yang mengajaknya untuk ke situ. Yalah, kain rentang yang seolah-olah bertindak mempromosi juga dipasang merata-rata. Jadi saya ingat pekerjaan yang ditawarkan juga bagus.
Pencarian kami akhirnya menemui jawapan. Ketika mencari kawasan memarkir, saya sempat mengerling beberapa papan di luar dewan yang di atasnya ada beberapa tampalan kertas. Saya dalam keadaan mata besar yang dikecilkan, cuba meneliti jawatan-jawatan tersebut. Ah, sama seperti yang saya fikirkan. Tak apalah, sekejap lagi saya tengok lain. Ujar saya dalam hati.
Selepas turun dari kereta, kami berdua menuju terus ke papan tersebut. Terdengar juga dari dalam dewan ada nombor yang dipanggil. Dalam hati, alamatnya kami nombor ke berapalah agaknya.
Usai meneliti, saya dan teman tersenyum. "Hang nak ka?" soal saya dalam loghat utara yang sememangnya menjadi kebanggaan kami.
"Hang?" dia menyoal saya kembali.
"Dok kot." Saya senyum. Dan saya melihat dia pun senyum.
Kami berjalan seiringan sebelum mengambil keputusan untuk pulang.
"Mujurlah kita tidak terlalu meletakkan harapan tinggi. Kalau tidak kecewa juga."
Dia mengangguk setuju.
Sebelum pulang, sempatlah juga berjumpa dengan beberapa orang yang dikenali. Dan ada juga yang seperti kami, turut pulang.
Bukanlah saya jenis yang memilih pekerjaan, tetapi saya tidak berminat untuk bekerja di sektor perkilangan. Rasanya, lebih baik saya berniaga di kedai makan emak saya. Gajinya lebih daripada sektor perkilangan tawarkan. Di Perlis, gaji bekerja sebagai operator pengeluaran bukanlah seperti di Kedah, Penang dan lain-lain negeri. Gajinya kecil dan kerjanya teruk.
Lagipun, ia jauh dari tempat tinggal saya. Teman saya pula dah sememangnya pandai menjahit dan juga berniaga kecil-kecilan seperti saya.
Sebenarnya, apa yang saya hendak tekankan di sini ialah program penempatan pekerjaan seperti itu sepatutnya harus menyenaraikan tentang peluang-peluang pekerjaan yang ada. Maka, tidak timbullah masalah salah faham kepada pencari kerja. Ada saya berjumpa kawan-kawan yang turut pergi, dan mereka berkata, "Kalau setakat kerja macam tu, minta di kilang tu pun boleh."
Saya pun sependapat dengan dia.
Sekalipun tidak menyenaraikan secara terperinci, senaraikan pekerjaan itu secara rawak agar pencari kerja tahu tentang hal tersebut. Hal inilah yang menyebabkan pencari kerja menjadi tidak berminat jika program seperti ini dibuat semula kerana persepsi mereka akan sama. Mereka akan serik. Percayalah.
Ada seorang kawan saya, pergi ke Langkawi, dan hasilnya seperti ini juga. Hurm.. Kasihan.
Bukanlah masalah tentang jenis pekerjaan tetapi masalah dari kurangnya maklumat terperinci mengenai jenis pekerjaan tersebut yang sebenarnya mengundang walang di hati pencari kerja.

Saya amat berharap hal ini akan dapat diperbaiki untuk kebaikan masa depan iaitu dari segi sambutannya.

Sekian..

Saturday, December 19, 2009

Iktibar -- Rumah di tengah syurga..

mari ambil iktibar............

Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."
(Riwayat Anas Bin Malik)
Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan 'orang yang beralah akan menang besar kemudiannya? '
Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."
(Riwayat Ibnu Mas'ud RA)
Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.
wallahualam

Thursday, December 17, 2009

Mencari Kesalahan Orang Lain Memang Senang!!!

Kenapa manusia sering mencari kesalahan orang lain sedangkan diri sendiri pun banyak salahnya? Ha, kali ini ada satu kes yang terjadi di kampung aku. Yalah, tentu sekali melibatkan pasukan futsal aku.
Semua ini kemungkin gara-gara aku membawa masuk satu sukan yang orang kampung sendiri tidak terfikir. Walhal, futsal wanita ini sebenarnya sudah lama wujud cuma belum sampai di kampung aku.
Jadi, masalah banyak sangat berlaku iaitu dari segi pemikiran dan pandangan sesetengah orang tua. Ada juga yang 'sporting' dan boleh dibawa berbincang tetapi ada satu golongan ini, yang seperti aku tulis di ataslah, sering mencari kesalahan orang lain. Marah? Ya memang aku marah.
Semenjak dari awal pembabitan lagi, futsal wanita sering dijadikan bahan kutukan, bukan kerana tidak tahu bermain, tetapi kononnya tidak bersesuaian.
Yang terbaru, ada seorang jurulatih secara sukarela tanpa dibayar walau sesen pun bertindak mengajar futsal wanita. Usianya adalah dalam lingkungan pakcik (40-an). Bersyukur juga sebab dalam sibuk kami mencari orang yang sudi mengajar, ada juga orang yang sanggup turun padang.
Hendak dijadikan cerita, baru-baru ini ada forum agama, maka dengan secara dirancang soal pakcik ini muncul di padang akhirnya dikritik hebatlah. Hurm.. Yang pertama mereka telah menjatuhkan maruah pakcik ni, yang kedua, mereka menuduh budak-budak yang turun main ini melakukan maksiat. Oh, terkutuk betul!!!
Aku yang urus, aku yang memerhati, tidak ada pun unsur2 maksiat. Tidak ada pula yang bercumbu. Sebaliknya, beberapa orang di antara kami sudah berkahwin, dan yang lain tidak pula membawa jejaka idaman ke padang. Aduyai... Aku pun tak faham apa yang tidak kena lagi.
Malah padang futsal yang disumbangkan oleh kerajaan, dipolitikkan dan cuba dibuat satu benda yang berharga sehingga mahu menetapkan harga di luar kemampuan anak-anak di kampung. Mereka tidak fikir pekerjaan ibu bapa anak-anak tersebut sebaliknya lebih mengutamakan wang ringgit. Itu yang utama. Selebihnya mencari salah silap anak-anak muda di kampung sedangkan yang tua berpeleseran dengan anak bini orang boleh pula mereka tutupkan.
Inilah satu-satunya pendekatan yang kurang bijak, iaitu memaksa dan tidak pernah mahu merapati anak-anak muda di kampung. Menilai secara luaran semata-mata dan kemudian menjadikan ia isu besar. Patutkah?
Bijakkah orang-orang tua yang berpengalaman jika bertindak seperti itu? Anak-anak muda harus dirapati, dan sebarang teguran harus kena dengan caranya. Bukan mendiskusi hal ini secara terburu-buru.
Aku rasa golongan seperti inilah yang sebenarnya membantutkan usaha pembangunan sukan. Seronokkah mereka andai maksiat berleluasa dalam diam, seronokkah mereka andai mat-mat rempit semakin bertambah, seronokkah mereka andai dalam satu komuniti itu wujud masyarakat yang tidak saling kenal-mengenal?
Apa patut aku buat? Aku sudah bosan dengan isu mencari kesalahan orang ini.

Friday, December 11, 2009

Sehingga DIsEmbEr 09- rumus hidupku

Wah... Agak lama juga saya tidak menulis di blog ini kan? (Skema..kah3)

Sebenarnya, saya sibuk dengan urusan harian yang tidaklah penting sangat tetapi cukup menghiburkan. Seronok apabila kembali ke kampung. Kawan-kawan dan aktiviti setiap hari memang tidak dapat diceritakan kegembirannya. Sungguh, memang seronok sangat!

Kawan-kawan seperjuangan sudah tentu hendak mengetahui perkembangan sesama kita kan? Hurm, saya tak kerja lagi (walaupun selalu cakap 'aku', 'k.ra' tapi sengaja je nk skemas..keh3). Hampir sebulan lebih saya dipanggil oleh guru yang baik dengan saya agar membantunya di koperasi sekolah. Seronok tu seronok jugalah tapi dalam masa yang sama malu juga sebab saya masih lagi belum mendapat pekerjaan yang tetap.

Kemanisan di sekolah tu adalah apabila dapat bergaul dengan adik-adik yang sedang berjuang dengan subjek-subjek di sekolah. Bukan apa, dulu saya pun pernah merasainya. Nak kata bosan tu bosan juga tapi mujurlah teman-teman saya semuanya bagus-bagus. Jadi, pergi sekolah kalau ada teman sekepala memang mengggalakkan.

Saya juga mengintai peluang pekerjaan lain tetapi setakat sekarang ni baru hendak berjinak dengan persatuan penulis di Perlis. Yalah, saya minat sangat menulis tetapi rasa macam ilmu penulisan itu masih belum mencukupi. Saya harus belajar dan terus belajar.

Malamnya, sehingga malam ini saya berniaga di kedai makan mak saya. Itu pun di depan rumah kami yang tidaklah cantik sangat. Haha.. Bolehlah sedikit duit untuk belanja.

Petang, saya main futsal dengan pasukan perempuan dan juga lelaki. Alahai, adik-adik saja. Yang besar-besar tu malas pula nak layan. Segan beb! Seronoklah berkawan dengan budak-budak sebab sedikit sebanyak kita tahu masalah dan perkembangan mereka.

Saya ada minta banyak kerja, tetapi belum rezeki. Yang dipanggil untuk temuduga pun hanyalah di Karangkraf tetapi tak tahulah rezeki saya macam mana kan? Sampai waktu ni, tiada pun panggilan. Jadi, saya redha sebab semua itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t.

Masalah saya memang BESAR! Setiap kali hendak ditemuduga, kebanyakannya di Selangor. Mana saya ada duit banyak2? Kos hari tu pun RM 3 ratus lebih. RM 1 ratus untuk tambang dan makan peneman, selebihnya kenderaan untuk ke satu tempat yang saya tidak tahu nak pergi pun. Susah ! Saya bukan orang kaya, saya orang kampung, hidup biasa. Saya bukan anak Dato', saya bukan anak hartawan, kalau ada panggilan temuduga yang banyak sekalipun, saya tak mampu nak pergi kerap2.

Selebihnya, harapan saya banyak ditumpahkan di negeri sendiri yang sungguh kecil peluang pekerjaannya. Hendak tinggal di Selangor? Dengan siapa saya boleh menumpang? Bagaimana dengan makan sehari-hari? Semua ni membuatkan saya semakin terbeban. Apatah lagi, dalam keluarga saya, hanya saya yang disandarkan harapan. Adik-beradik lain lelaki, dan biasalah.. Lelaki bukan seperti perempuan. Yang paling membebankan, apabila status menara gading ni menyebabkan orang selalu bertanya, kerja apa? La...tak kerja lagi?

Owh, sungguh perit. Saya diamkan sahaja. Sengih..

Semoga saya akan mendapat pekerjaan kelak. Kalian juga... Amin...

Monday, September 28, 2009

Tafsirkan Mimpiku...

Sebenarnya bukan nak percaya benda yang karut-marut tetapi mimpi ni semacam pelik sikit. Bukan sekali dua aku mimpikannya, tapi banyak kali. Sampaikan aku sendiri pun tak tahu dah berapa kali agaknya aku mimpikan mimpi yang sama ni. Kadang-kadang aku rasa diri aku seolah-olah terpanggil untuk ke 'tempat' tu.
Nak tahu aku mimpi apa?? Hurm... sebenarnya aku sendiri seram sejuk nak cerita tapi demi untuk aku dapat klu-klu atau sebarang nasihat dari semua yang baca blog aku nie, aku kongsikan jugak.
Aku mimpikan seorang perempuan tua, kalau tak silap aku dalam mimpi tu 'dia' ada pertalian darah dengan aku. Mungkin adik-beradik tok (nenek) aku. Rumah yang dia duduk tu usang sangat. Setiap kali aku mimpikan tentang 'dia', tentu ada sahaja jalan untuk aku ke rumah dia. Cuma....aku rasa macam takut je nak masuk atau singgah sebab 'dia' macam tak betul sikit, tengah sakit dan duduk sorang2.. Itu masa aku mimpi kali pertama dan kedua, aku rasa takut.
Tapi....lepas dah banyak kali mimpi, aku macam bengang jugaklah sebab aku rasa 'dia' kacau mood mimpi aku je. Aku mimpi je aku tekad nak tengok siapa dia sebenarnya tapi tak nampak muka. Klu2 yang ada pun cakap dia mungkin adik tok aku. Itu yang aku tahu.
Masalahnya bila aku tanya ngan tok ngah aku, tok ngah aku cakap bukan adik dia. Aku ceritalah macam mana keadaan 'dia' dalam mimpi aku kepada tok ngah (ni masa aku pergi rumah tok ngah-realiti bukan mimpi)..
Aku cakap ada seorang tua ni, perempuan, rumah dia dekat dengan sebuah rumah yang ada rumah atas. Rumahnya biasa tapi orang tua ini duduk sorang2, macam sakit, macam gila, entahlah...kadang2 nampak kelambu je..
Hurm...naik dah bulu roma aku nie.. hee..
Aku ada tanya mak, mak cakap suruh sedekahkan doa untuk dia walaupun aku tak tahu siapa dia. Kadang2 aku mimpi dia nak beri aku sesuatu tapi macam jahat je mimpi tu. Entahlah, yang tu macam mengarut je.
Aku pun ikut mak aku cakap, dah lama dah aku tak mimpi tapi lepas tu aku mimpi lagi, aku dah berani masuk ke rumah 'dia' tapi tak jumpa dia. Aku kadang2 nak je pergi cari siapa perempuan tua tu memandangkan aku rasa dia mahu minta pertolongan aku tapi nanti takut orang cakap aku ni dah tak betul lak lan?
Semalam aku mimpi lagi, tapi kali ni, rumah tu macam dah takde dah.. Hilang tapi masih di tempat sama. Kenapa??
Kenapa aku yang mengalami mimpi macam tu? Patutkah aku ke rumah sesiapa dan cari siapa dia? Kalau mainan mimpi kenapa terlalu banyak kali ia terjadi? Kenapa seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan?

Kenapa dan apa yang patut aku buat?

Sunday, September 20, 2009

Peluang

Peluang..
Sukar untuk aku tafsirkan dalam setiap entri kehidupan yang kita lalui. Terlalu banyak bezanya. Misalnya peluang kerja, peluang menebus kalah, peluang bertaubat dan sebagainya. Semuanya dalam bentuk situasi yang berbeda anyamannya.
Aku lalui hidup ini kerana peluang daripada-Nya. Aku lalui kehidupan sebagai pelajar dan mahasiswa adalah dengan izin dan bukaan jalan daripada-Nya. Semuanya kerana Dia Yang Maha Esa. Sedihnya, kekadang peluang daripada manusia kepada manusia itu tercalar kerana janji yang tersulam dusta, mungkir, atau senang cerita golongan seperti ini hanya mampu menutur ikut manis mulut. Janji itu ibarat pelepas diri. Padahal orang yang memegang janji itu sentiasa menganggap bahawa janji yang ditabur itu benar-benar janji.
Dalam lagu-lagu cinta, kebanyakan liriknya asyik menyentuh soal janji. Janji itu datang seiring peluang tetapi perginya janji mengundang walang.
Apakah janji itu hadir untuk ditelan dan akhirnya menjadi najis semata-mata? Kalau tidak bisa menunaikan janji kenapa harus berjanji? Kehidupan ini semakin lama semakin rencam. Apatah lagi dengan dugaan yang menjunam-junam ke muka. Kadangkala tidak betah juga untuk menahan tetapi sebagai manusia kita harus akur dengan segala ujian-Nya. Kita insan terpilih untuk melalui semua dugaan ini.
Peluang ---- Janji ---- Dugaan
Terlalu banyak dugaan, datang pula tekanan. Tekanan itu sukar untuk dimengertikan bagi yang tidak pernah merasai. Sukar untuk berada dalam kasut seseorang apabila kaki sendiri tidak sepadan dengan kasut itu. Senang untuk menyatakan bahawa setiap orang perlu 'empati' tetapi benarkah semua orang empati? Tekanan mendera perasaan dan kotak pemikiran sehinggakan seseorang itu tidak mampu mengawal mindanya. Semuanya dek desakan yang bertubi-tubi. Empatikah mereka yang mendesak kerana kekurangan yang ada pada insan-insan yang tertekan ini? Baik yang mindanya cetek atau kakinya menjejak menara gading, semuanya sama sahaja bagi aku. Semuanya kehilangan nilai empati.


p/s : Andai hendak berkongsi cerita, saya terima dengan sukacita. 'NONAMEWRITEIT!'
Bersambung....

Friday, August 14, 2009

Bersama Dengan Tokoh - Dr. Kamariah Kamaruddin

Usai mengaturkan gambar-gambar buat tatapan teman-teman seperjuangan, saya ingin selitkan juga di sini akan pertemuan saya dengan seorang pensyarah yang cukup kalian kenal (yang pernah belajar Teori Kesusasteraan la). Beliau tidak lain tidak bukan, Dr. Kamariah Kamaruddin. Seorang pensyarah yang kita semua cukup gerun dengan soalan-soalan yang dilontarkan beliau.

Bukan sahaja kalian, malah saya sendiri pun kecut perut apabila tiba musim kuiz. Mujurlah, dengan berkat kesungguhan beliau mengajar kita, banyak yang terlekat dalam minda ini. Sebenarnya, agak susah juga untuk saya merapati mana-mana pensyarah kerana sememangnya saya ada simptom 'takut'. Pernah saya bertanya teman-teman, mengapa tidak kita selalu berjumpa pensyarah? Jawaban teman-teman hampir sama dengan saya Kami semua terlalu bimbang kalau-kalau sebarang bicara yang terkeluar akan menggores hati mereka. Malah, kadang-kadang lebih baik sebarang pertanyaan itu dicari sendiri segala jawabannya kerana risau juga kalau-kalau soalan yang ditanya itu dianggap soalan remeh dan membuang masa. Semua ini mungkin pernah terjadi dalam kamus hidup masing-masing, sebab itulah para pelajar lebih gemar untuk mencari penyelesaian sendiri.

Berkenalan dan cuba merapati tokoh yang saya bawakan kali ini tidaklah sesukar seperti yang dibayangkan. Ia bermula selepas tokoh yang merupakan pensyarah saya ini bertanyakan kalau-kalau ada sesiapa yang mahu menyertai Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi. Asalnya, saya seperti tergamam. Minat menulis itu memang ada tetapi selepas mendengar nama keseluruhan bengkel itu, keputusan saya mahu menyertai bengkel tersebut terbantut. Sungguh, saya tidak mempunyai minat ke arah bidang sains walaupun saya tahu akan kepentingannya. Saya lebih gemar berceloteh akan hal dunia yang istilah-istilahnya tidak sesulit istilah sains. Cukup tidak boleh memecah benteng otak saya.

Kemudian, teman-teman seperjuanganlah yang menggesa saya dengan alasan, cuba dulu baru tahu. Mereka memujuk dengan memek muka yang pelbagai. Akhirnya berbekalkan beberapa orang teman, saya ikut menyertai bengkel tersebut. Seronok mendengar pelbagai ceramah dan nasihat dalam slot-slot yang dijadualkan. Saya juga berpeluang bertemu dengan penulis-penulis seperti Nisah Haron, S.M Zakir, Dr. Amida @ Kak Anis dan ramai lagi. Bermula dengan inilah saya semakin berani untuk berhadapan dengan pensyarah saya ini.

Belajar dalam kuliah Dr. Kamariah, banyak mengajar saya meneroka buku-buku lain serta menanamkan sikap suka membaca dalam diri saya. Selebihnya saya beruntung kerana berpeluang berdiskusi kecil mengenai hal-hal dalam dunia penulisan. Teori Kesusasteraan yang saya pelajari ini padat dengan kemahiran-kemahiran memasukkan nilai-nilai ke dalam sesuatu karya. Malah, ingin sekali saya menggunakan beberapa teori yang ada ini dalam hasil karya di masa depan. InsyaAllah...

Sebelum pulang ke kampung setelah selesainya majlis konvokesyen, saya membuat rancangan dengan dua orang teman lain ingin berjumpa dengan beliau. Waktu itu, kami semua sedang mengambil gambar-gambar kenangan di fakulti jadi tidaklah salah meluangkan sedikit masa bertemu dengan pensyarah ini. Mujurlah sewaktu saya menelefon beliau, beliau baru sahaja selesai kerja. Penat..Ya memang nampak penat. Tambahan, saya lihat beliau sudah berbadan dua. Tentu pekerjaan beliau bertambah mencabar. Apapun, saya harap beliau tabah menghadapinya kerana beliau terlebih dahulu makan garam daripada saya.

Saya membeli tiga buah buku yang penulisnya ialah beliau sendiri. Buku yang dimaksudkan ialah seperti di bawah :
- Sebuah Syakirah
- Mencari Kamil
- Berapa Harga Segulung Ijazah (yang terbaru)


Sebenarnya, saya dapat harga istimewa. Begitu juga dengan Hilmi. Terima kasih Dr. .

Baiklah, kembali mengenal tokoh kali ini, saya ingin bongkarkan peribadi beliau semasa di kuliah di blog ini. Beliau memang serius dan saya akui kesungguhan beliau ini sebenarnya mengajak dan mengajar anak bangsa supaya sedar daripada lena. Beliau akan marah jika pelajarnya main-main dan saya akui ketegasan beliau memang cukup digeruni oleh saya dan teman-teman lain. Yang pasti, beliau acapkali menekankan soal agama dan budaya remaja masa kini. Kadang-kadang terlepas juga pujian menggunung beliau andai kata pelajar-pelajar beliau memberi fokus dalam kuliah beliau. Malah, senyumnya meleret-leret kerana puas dengan jawaban bagi soalan-soalan yang diajukan. Saya kira, semangat perjuangan beliau sehingga ke peringkat PHD ini sedikit demi sedikit cuba diterapkan dalam diri pelajar-pelajar.

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan dr. Kamariah Kamaruddin. saya bersyukur kerana dapat duduk berbual dengan pensyarah yang tidak lokek dengan ilmu dan dorongannya kepada saya dan teman-teman lain.


Buku-buku yang ditulis beliau terselit kisah suka duka beliau mengejar cita-cita sedikit sebanyak menggamit semangat saya untuk terus berkobar dan menjelajah dunia ilmu dengan lebih jauh lagi. Malah, ketika saya bertemu beliau baru-baru ini, beliau nampak begitu gembira walaupun riak wajah beliau nampak letih. Kalau ikutkan hati, mahu saja saya duduk sepanjang hari mengorek rahsia beliau.

Saya berkesempatan mengambil gambar bersama dengan beliau dan saya paparkan di sini buat kalian tatapinya. Juga saya selitkan kata-kata semangat beliau untuk saya sebagai perangsang buat kalian semua dan saya sendiri.

Wassalam. Guru itu ibarat lilin yang membakar diri.

p/s : Sedih kerana tidak berkesempatan bertemu dengan Dr.Lim Swee Tin, Dr. Normaliza, Dr. Samsina (PA), Dr. Arbak dan banyak lagi. Apapun, terima kasih yang tidak terhingga buat kalian semua. Saya mohon dimaafkan salah silap saya.


Hari Konvokesyen 6

Hari Konvokesyen 5


Thursday, August 13, 2009

Hari Konvokesyen 4

Hari Konvokesyen 3



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...