Tuesday, March 31, 2009

Ketika dan Kalimat

Tunggu bas.. Sempat pose lagi



Letih tetapi seronok! Itulah yang dapat aku gambarkan sewaktu mengambil kursus Bahasa Dalam Multimedia ini. Mujurlah aku memang berminat nak belajar tentang multimedia ni, kalau tak susah jugalah nak buat kerja. Inilah kursus yang dalam sejarah aku belajar tiga tahun di UPM menyediakan banyak kerja. Letih jugalah, nak siapkan projek ilmiah lagi, tugasan-tugasan lain lagi. Hurm...memang agak memenatkan. Dalam keadaan penat tu pun, aku sebenarnya seronok sangat. Dapat belajar macam-macam. (hehe..)

Kelas yang pertama aku tak pergi pun. Masa tu kan baru saja lepas cuti semester, jadi aku memang jenis yang tak balik awal UPM. Tapi taklah sampai seminggu lewat, sekadar dua hari saja kalau tak silaplah. Huhu.. Semuanya sebab aku kena jumpa dengan penyelia aku, nak tunjuk hasil projek yang memang dia suruh buat masa cuti tu. Sampai saja di kolej, kawan-kawan bagi tahu yang pensyarah BDM tu merupakan penyelia projek aku. Ha, memang terkejut jugalah aku ni. Dalam masa yang sama seronok pun ada sebab sekurang-kurangnya aku dah kenal sikit-sikit perangai penyelia aku nie. Hurm.. Aku kenalkan beliau sebagai Dr. N. Bukan beliau saja yang mengajar, tapi Dr A jugak. Nak tahu siapakah Dr. N dan Dr. A, teruskan membaca pengalaman best aku nie.

Ok. Sambung cerita. Hari yang seterusnya, memang Dr. N masuk kelas. Apa lagi, dengan muka ala-ala serius tu, beliau pun membentuk undang-undang. Undang-undang ni sebenarnya kalau nak ikut tu biasa saja, tapi disebabkan Dr. N yang cakap, dah jadi luar biasa. Cubalah kalau nak rasa. = )

Undang-undang Dr. N yang pertama ialah berkenaan dengan ponteng kuliah. Masa tu aku ingat, agak susahlah sebab aku nie memang jenis ‘kaki’ ponteng. Aku mulalah risau kat dalam hati ni. Dr. N rupa-rupanya ada idea yang boleh mendisiplinkan aku dan kawan-kawan seangkatan. Hurm.. Beliau guna idea ‘pengikat’.

Cek Pah, Aku, Kina dan Ecah..

Dalam kelas, kami membentuk beberapa kumpulan kecil yang terdiri daripada 6 orang sahaja. Jadi, kalau salah seorang tak datang kumpulan ni akan mendapat markah 0. Jadi, takkanlah nak pentingkan diri sampai menyusahkan kawan-kawan kan? Memang aku tak pernah ponteng pun selepas tu. Bayangkanlah, kelas aku bermula jam 8 pagi hingga 9 pagi saja, dan lepas tu kelas BDM pukul 12. Aku tak balik dan duduk saja di fakulti tunggu sampai pukul 12. Bukan apa, risau juga kalau balik kolej, tertidur siapa yang aniaya? Aku? Tak kisah sangat. Tapi kawan-kawan aku, itu yang aku kisah.

Undang-undang Dr. N yang kedua ialah tak boleh lambat masuk kelas. Maknanya tak boleh lebih jam 12. Macam aku kata tadi, aku tak ada masalah bab ni, sebab aku menghabiskan masa aku di fakulti dari jam 8 pagi lagi. Bermula jam 9 pagi, aku lepak di kafe dulu, minum dan makan sikit, lepas tu ke Wisata Minda. Tempat ni tak pernah pun aku pergi sepanjang tiga tahun aku berulang-alik ke FBMK. Hehe... Malas betul. Nasib baiklah ada kawan-kawan yang rajin dan kelas BDM. Kelebihannya, aku punya projek dapat juga disiapkan pada masa yang sama. Lepas tu, kiranya sampai lenguh-lenguh kat Wisata Minda, aku pergi kafe balik. Minum untuk kali kedua dan bersiap-siap masuk kelas. Memang kerja minum sajalah untuk mengelakkan kebosanan.

Undang-undang yang ketiga ialah buat kerja dalam kumpulan, mesti buat sama-sama. Untunglah aku ni ada kawan-kawan yang memang beri kerjasama yang baik. Memang seronoklah buat kerja. Kalau tak, memang berangin jugalah. Kawan-kawan aku tu namanya Okina, Nad, Cek Pah, Ain dan Ecah.

Seterusnya nota Dr. N memerlukan kamera. Memang multimedialah! Haha.. Mula-mula tu macam nak tergelak saja sebab tak pernah dibuat orang. Ingat beliau main-main saja. Tapi rupa-rupanya benda tu serius. Budak-budak lain nak ambil gambar pun macam confuse gilerlah. Tapi bila dah selalu macam tu, dah tak ada hal lah. Macam best saja.

Bukan setakat tangkap gambar, ada soalan kilat daripada Dr. N yang perlu dijawab juga. Menggelabah, kalut, dan macam-macam perasaan ada waktu tu. Dr. N tak suka orang lambat-lambat. Ops! Ada lagi, beliau tak suka orang main picit-picit pen. Kuat juga pancaindera beliau. Kasut seret pun tak boleh. Hurm...terpaksalah angkat kaki jalan dan kalau lalu depan bilik beliau, kawan-kawan semua suruh jaga bunyi kasut. Hehe..

Kumpulan aku duduk bahagian depan sekali. Disebabkan kumpulan kami yang kelima, jadi ada seorang kawan aku ni syorkan nama kumpulan diletak sebagai D’Lima. Janji ada nama walaupun ala-ala Gangstarz. Huhu..

Ada lah satu kisah lucu masa setiap kumpulan berebut-rebut nak jawab soalan. Kawan aku ni namanya Cek Pah, dia ni memang jenis yang suka sengih sampai semua gigi nampak. Dan dia dengan sengih dan konfiden angkat tangan nak menjawab, Dr. N pun bagilah. Tapi belum sempat jawab dah kena cakap ‘next’.

Alasannya mudah. Nak jawab soalan tapi tersengih-sengih. Beliau nak muka yang serius. Kata-kata Dr. N tu buatkan kami semua memang keras perut jugaklah. Yerlah, Cek Pah memang jenis suka sengih. Adui.. macam-macam. Tak apalah Cek Pah, bukan rezeki kita kot. Hehe..

Satu hari tu, kami dapat tugasan yang perlu dibuat dalam kelas. Kena bawa gunting, gam, reben, kad hitam dan majalah. Hurm..masa tu terfikir jugaklah nak buat apa dengan benda-benda tu, tapi yang pastinya mesti kena potong dan lekatkan bahan-bahan yang terdapat pada majalah tu.

Kami belajar dulu, dalam masa sejam. Tentang asas grafik! Seronok juga apabila pelajaran itu dapat dimanfaatkan apabila kami keluar ke mana-mana. Aku dan kawan-kawan pasti akan meninggalkan komen untuk mana-mana papan iklan yang tidak memenuhi asas grafik seperti keseimbangan, mudah, warna dan sebagainya. Selepas belajar kami disuruh melekatkan iklan-iklan yang terdapat dalam majalah ke kad-kad yang telah dibawa. Iklan-iklan tersebut mestilah mempunyai asas grafik yang telah dibincangkan. Maka, jenuh jugalah kami bertungkus-lumus hendak menyiapkannya.

Dr. N pula tak mahu yang kembung-kembung menggelembung. Maksudnya iklan-iklan tersebut perlu digam dengan kemas. Pukul 1 petang kami mula buat dan disuruh hantar pukul 2 petang. Kalau lewat tak ada markah. Maka, bergelutlah masing-masing. Risau juga tak dapat nak siapkan. Nama setiap ahli kumpulan beserta nombor matrik pun perlu dilampirkan dengan menggunakan bahan-bahan di majalah. Penat! Nombor-nombor di majalah kecil-kecil belaka, ada yang hilang, terpaksa gunting dan lekatkan balik. Selesai kerja, semua berlari-lari ke bilik Dr. N. Fuh, nasib baik sempat.

Sesak nafas juga kalau nak siapkan kerja Dr. N ni. Lega dah siap.
Kami semua juga pernah menerima tugasan menjadi artis sementara. Pelbagai aksi dan gaya kami buat. Ada yang memanjat pokok, ada yang duduk di tepi longkang, ada yang melompat di tangga, dan macam-macam kami buat untuk memenuhi satu tugasan iaitu mengambil gambar berdasarkan peribahasa. Memang seronoklah. Kalau nak harapkan pose menarik untuk sendiri-sendiri memang tak terbuatlah. Malu! Nasib baiklah ada peluang macam nie.. Dapat juga berlakon dengan pelbagai mimik muka.


Ni salah satu pose aku buat. Kononnya katak di bawah tempurung, tapi macam bawah tangga je kan?? Heh..

Tak puas bergambar di fakulti, balik pula bergambar di kolej. Dua tiga hari jugalah nak dapatkan shoot yang cantik dan memenuhi asas grafik. Di celah ranting pokok bunga, di celah kerusi, di bawah lubang-lubang kecil, di atas pokok semuanya dicuba semata-mata nak memberi sentuhan yang terbaik. Malangnya, aku sedikit hampa apabila slide yang ditayangkan sedikit membosankan. Terlalu lama, padahal aku dan kawan aku dah beberapa kali cuba dan tengok masa. Memang cukup dan tidak lebih, tapi entahlah mungkin peribahasa dan gambar diasingkan, jadi taklah berapa seronok sangat.

Yang penting, aku dapat belajar menggunakan power point dengan lebih bagus. Sebelum ni, malas nak explore, setakat present biasa-biasa tu tahu la, tapi kalau sampai nak set buat multimedia ni memang tak pernah. Kalau buat pun, biasanya pakai Movie Maker. Tambah-tambah, aku pakai yang 2007 punya, jadi banyaklah benda-benda baru yang dapat aku belajar tanpa cikgu. Bagi aku, kerja explore nie memang mendapat kepuasan. Asalkan kita minat, dan usaha tanpa jemu, tentu sekali kita akan dapat kepuasan berganda-ganda. Kalau selalu mengelak buat kerja, sampai bila-bila pun kita tak tahu nak buat kerja. Kalau aku, benda yang aku minat tak perlu paksa pun tak apa, aku mesti buat punya.

Masa aku buat multimedia ni, tak tidur jugalah. Memang selalu macam tu, korban masa tidur. Kalau hari rabu tu memang wajib aku tak tidur malam. Sebabnya, hari Khamis aku kena tunjukkan projek kepada Dr. N selaku penyelia aku. Memang aku takut buat silap. Sebabnya dia akan berleter. Hehe.. Dia tegas dan banyak membantu. Orang kata, garang bukan sebarang garang. Garang-garang dia tu ada baiknya. Kalau lembut sangat pun tak guna juga kerja tak jalan. Betul tak?

Dr. N ni kalau orang lain tak kenal memang semua cakap dia garang. Tapi kalau yang pernah kenal dengan beliau, seronok. Hatinya baik. Tugasan-tugasan yang beliau bagi memang penat dan letih tapi di sebalik setiap tugasan tu ada sahaja manfaatnya. Banyak soft skill yang beliau cuba terapkan dalam diri masing-masing. Beliau tak suka orang datang lewat, itu bagus juga. Beliau suka orang hantar kerja tepat pada masanya, itu pun bagus juga. Beliau suruh buat program amal di rumah anak yatim, itu lagi bagus. Aku memang mencari kursus yang macam ni.

Sibuk tapi dalam masa yang sama membekalkan sesuatu untuk kegunaan masa depan.
Kami pernah buat karangan tentang kepentingan multimedia. Kemudian menyenaraikan cara-cara untuk memantapkan multimedia dalam Bahasa Melayu. Cabaran besar teknologi maklumat bagi bahasa Melayu ialah penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi maklumat. Memang ini masalah besar. Ancaman terhadap bahasa Melayu.
Sambung lagi..

Banyak tau kerja kursus nie. Memang dari tadi aku selalu sebut bab ni, sebab memang banyak. Hehe.. Kami kena buat draf untuk majalah online. Masa tulah aku terpaksa menjadikan diri aku kreatif dan kesudahannya aku digelakkan kawan-kawan. Memang aku tak pandai melukis. Kesian kawan-kawan. Hehe.. Rancangan tu semua dah elok dah tapi bila tiba ja masa untuk melukis dan mewarna memang hancuss..!!

Nasib baiklah kawan-kawan faham, aku hanya perlu membuat ayat untuk menerangkan gambar saja. Bab karang-mengarang ni memanglah kegemaran aku. Jadi tak bermasalah sangatlah. Yang sedikit masalah tulisan aku taklah kemas sangat, ala-ala doktor. Biasalah. Janji aku boleh baca. Tapi kena kawal juga sebab Dr. N tak nak cakar-cakar ayam, nanti beliau buang. Kosong markah! Terngiang-ngiang suara nyaring beliau menyebut ‘kosong’.

Bersama dengan Dr. A iaitu seorang lagi pensyarah kursus BDM ni, kami perlu membuat papan cerita untuk satu iklan. Masa Dr. A terang tu rasa macam senang, tapi rupa-rupanya agak susah juga. Malah, mendengar luahan Dr.A yang agak kecewa dengan hasil yang diberikan walaupun beliau tidak menyebut kumpulan mana-mana, aku juga sedikit tersentuh. Minta maaf Dr. A..

Kami semua benar-benar minta maaf kerana sikap sambil lewa semasa membuat kerja tu.
Baiklah, sambung balik tugasan-tugasan yang seterusnya. Kami juga dikehendaki membuat atau mereka satu barangan yang akan ditayangkan di satu papan iklan yang besar iaitu dengan mengikut peringkat demi peringkat. Kami memilih lampu sebagai produk untuk diiklankan.

Lampu tersebut tidak boleh sama dengan lampu-lampu yang ada dan setiap peringkat perlulah ada kelainannya. Contohnya, lampu pertama iaitu mungkin pada tahun 2005 merupakan lampu yang mampu menerangi sebahagian kecil ruang sahaja, dan lampu pada 2009 mampu menerangi keseluruhan ruang. Seterusnya, kemajuan lampu tersebut sehinggalah menggunakan tenaga solar dan menyimpannya dalam bentuk caj. Bolehlah menjimatkan elektrik. Hurm..kalaulah betul-betul, tentu dunia dapat kurangkan sedikit tenaga. Itu hanya idea.

Tugasan yang seterusnya, projek amal. Projek amal ini baru sahaja dibentang dan Dr. N nampaknya berpuas hati dengan semua kumpulan. Aku sendiri rasa teruja hendak menabur bakti di rumah anak yatim. Pada mulanya, kumpulan kami sedikit bermasalah kerana rumah anak yatim yang dipilih pada awalnya sudah mempunyai acara sendiri. Jadi terpaksalah mencari rumah anak yatim yang lain. Kami membuat keputusan untuk bergerak mencari mana-mana tempat yang dapat memberikan kebenaran dengan segera. Semuanya berbekalkan alamat di internet. Akhirnya, kami dapat juga sebuah tempat iaitu Rumah Perlindungan Pernim, yang menghimpunkan anak-anak termasuklah anak-anak HIV.

Kasihan. Sampai sahaja kami ke rumah itu, adik-adik yang masih kecil iaitu belum masuk sekolah rendah, memeluk tidak mahu lepas-lepas. Ada kawan aku sampai nangis. Rumah Perlindungan Pernim merupakan sebuah rumah yang agak mewah. Menurut pengasasnya, Puan Hajah Norlina, beliau tidak mahu anak-anak yang berada di rumah itu dipandang hina, dan sebab itulah dia cuba untuk memewahkan mereka seperti kehidupan orang lain juga.

Pengasasnya, kami semua panggil ‘mama’. Cantik orangnya, macam artis pun ada juga. Aku sempat juga terbaca sebuah buku perjalanan hidup beliau. Seronok. Beliau menceritakan tentangan demi tentangan yang dihadapi beliau termasuklah daripada ahli keluarga beliau sendiri semasa mengutarakan hasrat untuk membela anak-anak tersebut.

Ketika kami mula-mula sampai di situ, mama tidak ada. Ke pasar kata seorang anak angkat beliau yang sebaya dengan kami. Tak apalah, kami menunggu sambil melayan dan meneliti segenap rumah beliau. Cukup mewah dan selesa.

Tentu sekali anak-anak di rumah itu tidak merasa kekurangan. InsyaAllah..

Kepulangan mama memang dinanti-nantikan kerana kami ingin meminta keizinan beliau untuk mengadakan program amal kepada adik-adik di situ. Mama bersetuju. Beliau tidak pula ingin melihat proposal terlebih dahulu, yang penting ikhlas. Beliau cuma mahu tahu pengisian program sahaja dan meminta kami ajar adik-adik membaca dan membantu mereka dalam pelajaran. Alhamdulillah, ternyata mama memang senang untuk dirunding.

Proposal pula harus dibaiki dan diberi ketika kami semua menjalankan program. Sebenarnya, mama pentingkan hati budi yang sebenar bukannya janji-janji atau bahasa dalam kertas. Ya, aku belajar semua itu. Kertas dan bahasa hanyalah sebagai syarat asas, syarat yang kedua adalah hati kita. Niat kita untuk membantu kepada yang memerlukan perlu disucikan.



Ni pula gambar di Pernim, Kg Cheras Baru..Gambar adik2 tu nanti aku letak di post lain...tunggu!


Terima kasih Dr. N kerana memberi peluang sebegini kepada kami.

Balik sahaja ke kolej, masing-masing mula merencanakan program. Yang seronok dan terharu, ada dua orang kawan aku ni tak naik kereta tau. Naik motor! Memang terharu sangat. Kami seramai sepuluh orang naik kereta dengan penghawa dingin, tapi Cek Pah dan Nad makan angin semula jadi. Kesian tapi itulah pengorbanan.

Kami semua memesan makanan pagi iaitu nasi lemak untuk 70 orang. Pagi-pagi lagi kami semua siapkan air dan makanan untuk bekal. Segala peralatan belajar semua dah disiapkan. Malah malam sebelum pergi ke Pernim, masing-masing membuat latihan untuk mengajar. Macam-macam gayalah, nak bercerita dan sebagainya. Yerlah, kami bukan dalam bidang pendidikan. Tidak pernah pun diminta untuk berbuat begitu.

Aku gunakan buku-buku, kad gambar yang telah aku gunakan untuk projek aku iaitu untuk kanak-kanak autistik. Tak susah. Aku hanya perlu menyuruh mereka membuat ayat berdasarkan gambar yang telah aku tunjuk. Bukan setakat ayat biasa tapi adik-adik di Pernim perlu membuat cerita pendek. Tak semua yang dapat buat, tetapi aku sedikit lega kerana sekurang-kurangnya dalam aktiviti lain mereka memberikan respon yang baik.

Hendak dijadikan cerita, kereta yang sebiji lagi sesat dengan motor. Jadi aku dan kawan-kawan yang satu kereta (Vera, Kina, Ain, Ecah) sampai awal. Entah macam manalah tersesat. Hehe..
Hari itu, Pernim menerima banyak kunjungan. Hampir 3 kumpulan dari IPT yang berlainan datang melawat. Ada yang membuat adik-adik Pernim sebagai adik angkat, ada yang baru mengemukakan proposal dan sebagainya. Keadaan sibuk seperti itu memanglah sedikit menganggu program. Kami terpaksa berunding dengan kumpulan-kumpulan yang berada di situ untuk meminjam adik-adik Pernim bagi menjalankan program. Mujurlah masing-masing memahami. Kami mengajar, mereka bergotong-royong. Mereka mengajar, kami bergotong-royong. Sama-sama buat.

Riuh-rendah juga dengan gelagat adik-adik Pernim dan budak-budak IPT yang membanjiri rumah Pernim. Mama pula tidak lokek melayan tetamu yang datang.

Kami melipat baju, menyidai baju, menyapu sampah dan sebagainya di rumah Pernim. Baju adik-adik semuanya sama. Menurut mama, kalau satu hilang, adik-adik tak akan pakai baju tu dah. Alasannya, mama tak mahu adik-adik rasa dipilih kasih. Malah baju sekolah adik-adik siap sedia dengan hari-harinya. Hari Isnin baju lain, Selasa baju lain, pendek kata memang khaslah.
Aku perlu mengawasi adik-adik membasuh kasut. Bayangkanlah, adik-adik yang bersekolah di darjah satu dan dua, semuanya membasuh kasut sendiri. Aku sedikit teruja kerana adikku sendiri sampai sekarang pun belum tentu pandai basuh kasut lagi walaupun dah besar. Hehe..

Adik-adik tu pun nampak bersemangat sebab dikunjungi oleh kakak-kakak dan abang-abang dari IPT. Malah, ada seorang adik tu asyik mengikutku dan kawan-kawan. Mulanya aku tak faham, ingatkan memang dia hendak bermanja, jadi tak kisahlah. Sembang punya sembang, rupa-rupanya adik tu nak minta salah seorang daripada kami mengajarnya membuat kerja sekolah. Ya Allah, kesian adik tu.

Aku ajar di atas tangga. Pandai dan comel sekali. Namanya Azah. Aku ingat sampai sekarang. Tak tahulah dia faham atau tidak dengan tunjuk ajarku. Rupa-rupanya hendak mengajar budak kecil dengan orang dewasa, budak kecil lebih susah. Aku tak tahu macam mana nak bagi dia faham tapi apabila tengok dia angguk-angguk, kiranya dia fahamlah tu.

Dia tanya aku, kenapa tak tidur situ? Aku senyum saja. Sedih. Nak saja aku bawa balik rumah. Lagipun aku tak ada adik perempuan dan tak pernah pun menjaga budak-budak. Adik aku lelaki dan kami membesar sama-sama. Suasananya lain.

Ada seorang adik tu, Daniel namanya. Comel sangat. Umur dah lima tahun tapi kecil saja orangnya. Petah bercakap dan manja. Kalau nak aku sebutkan semuanya, memanglah tak terlarat. Hehe.. Tapi semuanya memang bagus dan pandai-pandai. Aku dulu pun tak pandai macam tu.

Aku dan kawan-kawan telah berbincang untuk membeli hadiah sebagai ganjaran kepada adik-adik yang boleh menjawab dengan baik. Padahal, semuanya aku bagi sebab nanti aku takut akan ada yang sedih dan terasa hati. Aku tanya siapa nak cuba, banyak yang angkat tangan sampaikan aku sendiri tak larat nak melayan. Letih ooo.. Hadiah tu pun bukannya mahal sangat, sekadar pensel dan pemadam saja. Kemudian kami buat penanda buku dengan kad manila yang diikat reben. Masing-masing berebutlah nak menjawab. Memang menjana betul! Hehe..
Selesai sahaja program, kami minta diri untuk pulang. Duit sumbangan yang dikutip di kolej dapat juga disalurkan kepada adik-adik di Pernim. Tidaklah banyak kerana itu sahaja kami mampu.

Balik dari program tersebut, kami semua singgah di Putrajaya dan makan bersama-sama. Mengantuk tu tak payah cakaplah. Bercampur baur dengan letih semuanya ada. Selesai makan, kami bertolak balik ke UPM. Dalam perjalanan pulang, hujan lebat. Kereta sampai tak nampak jalan. Aku dah mula risau. Risau dengan dua kawan lagi yang naik motor. Dahlah dua-dua kurus, tentu sejuk. Harap-harap mereka berhentilah di mana-mana untuk berteduh. Kami dalam kereta memang dah bimbang tak terkata, kilat dan guruh memang menakutkan kami.

Sampai di UPM, hujan sedikit reda. Sudah nampak jalan, dan akhirnya sampai juga di kolej. Tapi dalam hati masih tak sedap lagi sebab ada sebuah kereta lagi tak sampai. Cek Pah dan Nad yang naik motor sampai dulu. Tak tahulah macam mana mereka redah hujan. Basah kuyup kedua-duanya. Bersyukurlah, selamat. Risau aku dibuatnya.

Dalam hujan juga kami terpaksa redah juga untuk angkut barang masuk ke dalam. Semua basah. Adil. Hehe.. Balik sahaja terus mandi dan tidur. Penat.
Seronok tau buat program macam ni.

Semua tu yang aku cerita tu adalah tugasan daripada Dr. N dan Dr. A. Lain pula dengan kelas tutorial. Tutorial kami dikendalikan oleh Cik Nurul. Ada seorang lagi tutor tapi beliau tak mengajar kami. Namanya Cik Alia.

Kerja tutorial pertama untuk BDM ialah membuat kalendar. Kalendar tu haruslah ada gambar masing-masing dan dibuat dengan menggunakan adobe photoshop. Adobe photoshop ni aku dah belajar dengan floormate aku. Tapi tak banyaklah aku belajar, sebab tak sempat.

Belajar adobe photoshop ni tak semudah power point. Sampai saat ni banyak juga alat-alat dalam Photoshop yang aku tak tahu apa fungsinya. Yang asasnya tu tahulah tapi nak tahu semua tu rasanya kena belajar lagi. Kalendar tu aku buat tahun 2010 sebab tahun 2009 pun tinggal berapa tahun saja lagi. Syoknya, boleh letak gambar sendiri, gambar famili, gambar kawan-kawan. Selalu tengok kalendar gambar orang lain dan tak tahu pula yang kita boleh buat sendiri dan cetak. Murah pulak tu. Ingatkan seratus lebih, rupa-rupanya tak sampai RM 30.00.

Dapatlah aku tunjukkan kat mana-mana penemuduga hasil yang aku buat. Mana tahu, dapat juga dia mempertimbangkan kedudukan aku. Harap-harap dapat kerja lepas ni. Hehe..
Nak tahu tak? Hehe.. Suatu hari tu kami budak-budak KTDI terlewat ke kelas. Ini bukan salah kami. Ini salah pemandu bas tulah. Teruk jugalah kena berdiri depan kelas sebab lambat 5 minit. Dahlah masa tu Cik Alia yang ambil alih. Memang kenalah jawabnya. Cik Alia mintak setiap seorang sediakan 15 alasan kenapa lambat ke kelas. Adui...tak boleh sama pulak tu. Pening jugalah aku fikir. Masalahnya, satu alasan saja yang memang betul. Dan setiap orang menghadapinya bersama.

Yang ni pulak gambar yang telah di'adobe photoshop' kan.. Kira oklah tu drp tak tahu lgsg..He3x



Susah-susah!

Aku karang dalam telefon 1110 aku tulah.

Nak tahu apa aku karang? 1 )Bas lambat. 2) Pemandu bas hisap rokok dulu. 3) Pemandu bas tak nak naik bas lagi. 4) Pemandu bas tak nak gerak awal walaupun kami dah cakap ada kelas. 5) Pemandu bas singgah di kolej belakang ambil pelajar. 6) Pemandu bas bawak bas lambat. 7) Budak-budak yang tumpang bas tu naik lambat, jalan perlahan-lahan 8) Pemandu bas berhentikan budak-budak tu di kolej yang lain. 9) Budak-budak tu turun lambat, tak tahu kami tengah berkejar masa 10) Pemandu bas tak nak berhenti di sanggar..

Itu baru 10 sebab, aku dah semput. Aku taip saja sebagai persediaan sebab aku tahu Cik Alia taklah kejam sangat nak suruh orang lain buat alasan yang berlainan. Aku buat alasan-alasan tu pun untuk mewakili semua yang ada. Memang tepat jangkaanku, Cik Alia tak minta macam tu pun. Dia pun tanya kenapa lambat? Aku pun kalutlah cakap, niatnya untuk semua tapi hanya aku dan seorang saja kawan aku yang turut bercakap dibenarkan duduk. Kesian yang lain-lain. Kena asak lagilah dengan Cik Alia. Akhirnya dapat juga mereka duduk sebab masing-masing petah menjawab. Hurm... Masa tu aku tengok Cik Alia macam kecil hati saja dengan kami. Maaflah..tak sengaja.

Seterusnya kami dikehendaki membuat laman web dengan menggunakan front page. Yang ni merupakan benda baru bagi aku. Aku tak pernah mencuba atau membukanya sekali pun. Malah, aku cari sampai seminggu installer atau software front page ni.

Disebabkan lewat dapat install ke notebook aku, jadi aku pun lewatlah mula buat laman web. Hasilnya tidaklah begitu membanggakan memandangkan Cik Nurul hanya memilih beberapa orang antara kami sahaja untuk disimpan. Hehe.. nampak sangat tak memuaskan hati.
Buat laman web ni sebenarnya memang mencabar. Aku suka dan kalau boleh nak ada kursus khas untuk ini. Aku nak explore semua takut sangat silap. Jadi asas sahaja aku tau. Bagi aku, pengetahuan untuk membuat laman web ni penting dan merupakan satu kelebihan kalau nak minta kerja. Tak mengapalah, sekurang-kuranya tahu juga aku nak link. Hehe..

Masa buat laman web ini, aku demam teruk jugalah. Demam panas sebab berjaga dan tidur yang tidak seimbang. Projek perlu ditunjukkan setiap minggu, tugasan banyak. Semuanya berkejar-kejar untuk dihantar. Jadi, malam tutorial aku demam. Aku pun hantar mesej kat tutor aku tanya kalau-kalau aku dapat cuti. Takut juga nak ponteng, sebab nanti kena jumpa Dr. N. Tutor aku tu suruh aku bagi MC dari klinik kerajaan. Adui.. Bukan aku tak nak bagi tapi aku ni memang tak suka pergi klinik. Dahlah demam, nak berjalan ke klinik pun satu hal, nak menunggu di klinik satu hal, memang aku tak suka. Aku cakap, surat biasa tak boleh ke? Dr. N tak nak surat biasa. Hurm.. terpaksalah aku pergi kelas. Rupa-rupanya malam tu kena tunjukkan website. Terima sajalah hasil aku yang biasa-biasa sebab aku memang tak larat nak buat kerja masa tu. Tak berdaya nak bangun pun.

Dengan Ecah, kat kolej..masa ni tengah shooting ..hehe..kononlah yer..

Kemudian, kami perlu membuat blog. Sebelum ni aku memang dah pernah buat blog tapi macam tak puas hati saja dengan blog tu sebab macam tak ada matlamat. Jadi aku buka blog baru dengan harapan blog kali ni mampu memberikan manfaat kepada semua.
Dalam blog ni, kami ditugaskan untuk menemuramah seorang tokoh bahasa, termasuklah penulis. Di fakulti, banyak nama-nama tersohor. Jadi tak susahlah.

Aku juga teringat, masa di semester pertama, aku perlu menemuramah seorang penulis juga dan waktu itu aku menemuramah Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan (sudah meninggal dunia).

Seronok berkongsi rahsia dengan orang-orang tersohor. Aku memilih Dr. Jusang bin Bolong untuk ditemu ramah. Alhamdulillah, pekerjaan menjadi senang apabila Dr. Jusang tidak lokek ilmu dan bersedia memberikan kerjasama.

Dr. N yang aku maksudkan di atas ialah Dr. Normaliza Abd Rahim. Seorang wanita yang cergas dan aktif dengan penyelidikan. Aku tidak rugi mengenal Dr. N dan membuat projek di bawah seliaan beliau. Orangnya putih. Aku sebenarnya nak cakap Dr. N ni comel tapi nanti takut dikata membodek pulak. Haha.. Tak kiralah apa nak dikata, tapi tengok sendirilah perwatakan beliau.
Kursus BDM bukanlah satu kursus yang patut digeruni tetapi digilai kerana terlalu banyak perkara yang kita perolehi dalam kursus ini.

Dr. A pula ialah Dr. Arbaie Sujud iaitu Ketua Jabatan Bahasa Melayu. Sekali tengok macam Aziz Satar masa mudanya. Kadang-kadang masa beliau mengajar, aku selalu terbayang Dr. A nyanyi lagu Oh Azizah. Hehe.. Jangan marah aa...

Secara keseluruhannya, aku amat berterima kasih kepada Dr. N, Dr. A, kedua-dua tutor aku, Cik Nurul dan Cik Alia kerana memberi tunjuk ajar kepada kami semua. Pengisian yang ada dalam kursus ini perlu dikekalkan. Banyak faedahnya.

Sebagai pelajar yang akan tamat tahun ini, aku merasa sangat bertuah kerana di akhir semester aku diberi satu peluang untuk merasai satu keseronokan. Memang letih dan letihnya pun tak hilang lagi, tapi aku sedikit pun tak menyesal. Serius aku cakap, kursus ni memang tip top lah.

Oklah, sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih kepada semua. =)

Rahsia-rahsia Penulisan - DR. JUSANG BOLONG




SESI KEDUA

Mengorek Rahsia – Jeng-jeng!

Dr. Jusang bin Bolong memulakan langkah dalam bidang penulisan ketika beliau masih lagi menuntut di Universiti Pertanian Malaysia, cawangan Sarawak. Pada tahun akhir pengajian iaitu di peringkat diploma, beliau yang merupakan Ketua Pengarang Suara Kampus UPM, Sarawak telah mengikuti satu kursus penulisan kreatif. Berikutan dengan itu, beliau dan peserta-peserta kursus telah membuat lawatan ke RTM Kuching pula (studio drama). Di sini beliau mendapat galakkan untuk menghasilkan skrip drama radio. Percubaan beliau yang pertama ternyata begitu memberangsangkan. Karya beliau yang pertama berjudul ‘Semangat Petani’ dihantar ke RTM Kuching, dan selepas tiga minggu, tanpa disangka-sangka karya beliau telah disiarkan. Skrip drama yang berlangsung selama 30 minit itu disiapkan beliau dalam jangka masa yang singkat iaitu hanya sehari semalam. Hebat sekali. Beliau tidak pernah menulis, dan dengan hanya sekali percubaan karya beliau telah disiarkan.

‘Semangat Petani’ merupakan sebuah kisah mengenai seorang pelajar yang balik ke kampung semata-mata ingin bertani. Beliau mendapat bayaran sebanyak RM150.00 hasil daripada skrip drama tersebut. Namun begitu, bagi beliau bukanlah duit yang penting tetapi kepuasan menulis itu yang sebenarnya mendorong beliau untuk meneruskan perjuangan dalam bidang penulisan. Beliau juga turut menyatakan bahawa cabaran besar untuk langkah pertama beliau ini tidak lain tidak bukan adalah perasaan. Perasaan itu merupakan cabaran. Memang selalu kita dengar, kita berperang dengan perasaan tetapi jarang sekali menjadikan perasaan itu sebagai cabaran. Beliau berperang dengan rasa yakin. Beliau berperang dengan resah. Beliau berperang dengan semua perasaan yang bercampur gaul kerana itulah karya sulung beliau. Selain itu, beliau tidak terlepas daripada kekangan masa. Beliau terpaksa menangguhkan kerja-kerja penulisan beliau kerana mempunyai komitmen lain. Pada waktu itu, sebagai seorang yang masih baru dalam dunia penulisan, beliau juga diulit kebimbangan apabila memikirkan jalan cerita, ayat dan sebagainya.

Usaha beliau diteruskan lagi dengan penghasilan sebuah novel iaitu novel remaja. Novel ini disiapkan ketika beliau menjadi guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Merotai Besar, Tawau. Namun begitu, usaha beliau kali ini nampaknya tidak berakhir dengan baik apabila karya beliau ditolak oleh sebuah syarikat penerbitan. Novel yang bertajuk ‘Tidak Kesampaian’ ini merupakan kisah percintaan di sekolah iaitu melibatkan pelajar tingkatan enam. Beliau secara berseloroh menyatakan bahawa novel itu akhirnya juga tidak kesampaian, sama seperti tajuknya. Beliau sendiri akan ketawa apabila membaca balik isi kandungan novel tersebut. Ayat dan bahasanya lintang pukang. Dalam dunia penulisan, hal sebegini bukanlah aneh kerana setiap penulis tentunya akan melalui pengalaman karya ditolak.

Dua tahun selepas itu (1988), ketika beliau masih lagi menjadi guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Merotai Besar, Tawau, beliau telah menghasilkan sebuah skrip drama yang diberi tajuk ‘Monumen 46’. Pertandingan drama antara sekolah-sekolah ini merupakan pertandingan yang dianjurkan oleh TV3 dan juga Kementerian Pelajaran. Sebagai penasihat Kelab Drama sekolah, Dr. Jusang Bolong telah mencuba nasib. Hasilnya skrip drama pentas yang bertemakan perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan itu telah merebut anugerah Johan Peringkat Negeri. Malah, Dr. Jusang sendiri memperoleh gelaran Pengarah Terbaik.

Bakat beliau dalam dunia penulisan skrip drama ternyata dikembangkan lagi. Beliau terus menulis skrip drama pentas yang kedua iaitu bertajuk ‘Naskhah Pak Tua’. Skrip drama ini dipertandingkan sempena Pertandingkan Menulis Drama Esso Gapena dan hasilnya beliau mendapat Hadiah Penghargaan. Naskhah Pak Tua merupakan sebuah kisah perjuangan bahasa Melayu. Watak Pak Tua ini digunakan sebagai watak utama dan diceritakan dalam skrip tersebut, Pak Tua telah ditangkap British, dan dibuang negeri kerana menentang sistem pembelajaran Sekolah-sekolah Melayu waktu itu. Apabila beliau balik, tanah air sudah merdeka dan beliau waktu itu sepertinya gelandangan kerana perubahan yang berlaku selepas merdeka.

Beliau terus menulis dan akhirnya menghasilkan pula skrip drama pentas bertajuk Refleksi Puteri Gunung Ledang yang bertemakan lagenda. Walaupun kalah dalam pertandingan yang melibatkan antara sekolah, namun beliau tidak pernah berputus asa.

Angin penulisan berubah. Beliau mencuba lagi genre novel tetapi kali ini novel kanak-kanak. Waktu ini, merupakan tahun kelima beliau mengajar, dan merupakan hasil sebelum beliau menyambung pelajaran di peringkat Bacelor.

Novel kanak-kanak yang berjudul ‘Kasih Di Kota, Sayang Di Desa’ ini telah pun diterbitkan oleh DBP. Memang seronok mendengar sedikit sinopsis tentang cerita ini. Ceritanya berkisarkan dunia kanak-kanak berniaga, yang akhirnya menjadi usahawan kanak-kanak yang berjaya. Hebat bukan? Sebenarnya, novel sebegini akan memberi inspirasi kepada kanak-kanak dan dalam diam memupuk semangat untuk berniaga. Beliau hanya memperuntukkan masa selama sebulan sahaja untuk novel ini.

Novel beliau yang seterusnya bertajuk ‘Berubah’ iaitu bertemakan alam sekitar. Dalam novel ini, beliau cuba menceritakan perubahan orang asli di Sabah yang terpaksa keluar dari hutan. Punca perubahan ini disebabkan berlakunya aktiviti pembalakan di Sabah, dan orang asli waktu itu telah cuba sedaya upaya untuk menentang pembalakan tetapi akhirnya mereka kalah. Oleh sebab itu, mereka terpaksa juga keluar dari hutan yang asalnya merupakan tempat tinggal mereka dan duduk di kampung.

Seterusnya, Naskhah Pak Tua telah disunting menjadi sebuah novel yang bertajuk ‘Novel’. Novel ini yang merupakan sambungan Naskhah Pak Tua, tetap mengekalkan temanya iaitu tentang perjuangan bahasa. Hasilnya, Dr. Jusang telah memenangi tempat ketiga. Bagi novel bertajuk ‘Novel’ ini, beliau mengambil masa selama setahun untuk menyiapkannya.

Beliau juga telah mempromosikan sendiri novel ini dengan membuat jualan dari meje ke meja dan mengedarkan soal selidik untuk mengetahui respon pembaca. Menurut beliau, hasil daripada tindakan beliau itu, beliau telah mendapat banyak kritikan. Kritikan itu sedikit sebanyak membantu beliau dalam penghasilan novel yang seterusnya. Inilah yang mungkin dikatakan sebagai kritikan membina. Beliau akhirnya menghasilkan lagi sebuah novel yang merupakan sambungan daripada Novel dengan tema yang sedikit berbeza iaitu pengklonan. Novel ini membawa satu pembaharuan iaitu pemuatan pemikiran Islam dalam menilai pengklonan. Novel ini dinamakan Ralat, dan diterbitkan pada tahun 1998. Jangka masa penghasilannya pula selama satu setengah tahun.

Novel yang seterusnya, merupakan novel kanak-kanak iaitu mengenai seorang kanak-kanak yang tidak mahu bersekolah. Novel ini diterbitkan oleh Cerdik Publication dengan tajuknya ‘Ateng Kerja Gila-gila’. Kanak-kanak yang tidak mahu bersekolah ini sebenarnya digambarkan terlalu berminat untuk membuat eksperimen sehinggalah usahanya itu akhirnya membuahkan satu anugerah inovasi. Novel ini juga sama seperti novel kanak-kanak yang berjudul ‘Kasih Di Kota Sayang Di Desa’ iaitu merupakan sebuah novel bercorak inspirasi dan motivasi secara tidak langsung.

Saya sempat mengorek teknik-teknik yang beliau gunakan ketika menulis atau berkarya. Beliau yang tidak lokek dengan ilmu terus memberitahu bahawa semuanya merupakan cerita daripada orang lain. Beliau mengumpul semua cerita itu, dan melakarkannya sebagai sebuah cerita. Malah, bagi satu novel beliau yang mengisahkan tentang pengklonan itu, beliau mengumpul cerita-cerita daripada suratkhabar dan kemudiannya menjadikannya cerita.

Ketika ditanya tentang pendapat beliau, sesetengah penulis lebih suka berimaginasi daripada melakarkan kisah realiti, beliau mengatakan bahawa realiti dan imaginasi tidak dipisahkan. Namun begitu, bagi beliau, lebih baik memperbanyakkan realiti daripada imaginasi yang melampau (fantasi).

Pembabitan beliau lebih banyak kepada skrip drama dan juga novel, tetapi adakah pernah beliau menulis sajak? Tentu sekali pernah tetapi pembabitan beliau dalam dunia persajakan tidak begitu ketara. Minat beliau ke arah lain agaknya. Beliau telah menghasilkan dua sajak iaitu ‘Fotosintesis’ dan ‘Secebis Kepedulian Ini’.

Berjumpa dan berbual dengan beliau dalam masa yang singkat ternyata tidak sia-sia. Kelulusan beliau sedikit pun tidak menyentuh bidang bahasa. Namun begitu, bakat yang ada itu telah diasah sehinggalah banyak karya beliau mendapat tempat di hati juri. Hal ini meneguhkan lagi bahawa bukan sahaja orang yang memang belajar sastera mampu menulis, orang yang berlatar belakangkan bidang lain juga mampu membuat perkara yang sama. Soalnya, minat dan kemahuan. Bakat itu boleh diasah. Garapan Dr. Jusang Bolong meliputi pelbagai tema, tetapi kebanyakan jalan ceritanya adalah berlatarkan negerinya sendiri iaitu Sabah. Dr. Jusang mencuba pelbagai genre dan hasilnya setiap percubaannya itu ternyata tidak menghampakan.

Tahniah Dr. Jusang Bolong.


Pertama Kali Bersama Beliau - DR. JUSANG BOLONG


SESI PERTAMA

Menyusun Langkah Bertemu Dr. Jusang Bolong

Pada mulanya, saya sedikit risau kerana nama Jusang Bolong bukanlah calang-calang. Saya sendiri pernah membaca karya beliau yang berjudul ‘Novel’. Hebat sekali ! Kulit asalnya pun dah bertukar lain. Tafsiran saya, tentunya buku ini digilai pembaca.

Meskipun telah mengenali Jusang Bolong melalui nama beliau, namun saya tidak pernah pula berkesempatan melihat sendiri orangnya. Garangkah? Seriuskah? Berkanta mata tebalkah? Tentu sekali semua persoalan ini bermain di kotak fikiran saya.

Berbekalkan permintaan kursus BDM, saya seperti mendapat jalan untuk berkongsi ilmu dengan seorang penulis. Berkongsi ilmu dan mencungkil rahsia seseorang yang berbakat merupakan satu perkara yang menarik perhatian saya. Tambahan, orang yang ingin ditemu bual itu merupakan seorang penulis. Dapat juga saya mengembangkan minda saya dalam bidang penulisan. Bagi saya, menulis novel memerlukan satu daya usaha yang sangat kuat dan jitu. Tentu sekali beliau merupakan seorang yang sangat berdisiplin dalam menerajui bidang penulisan.

Saya bersyukur kerana niat saya untuk menemu bual beliau akhirnya kesampaian. Walaupun tidak mengaturkan temu janji terlebih dahulu, penerimaan beliau cukup baik. Bayangkan, beliau mempunyai temu janji dengan seseorang pada pukul 3 tetapi saya didahulukan memandangkan waktu itu 2.45 petang. Namun, nasib yang tidak menyebelahi saya, penemu janji itu datang terlebih awal, dan untuk seketika saya terpaksa mengundurkan diri, dan memberikan laluan kepada yang sudah berjanji.

Kira-kira pukul 5 petang, barulah saya berkesempatan bertemu dengan beliau.

Cabaran Kerjaya - DR. JUSANG BOLONG



CABARAN KERJAYA

DR. JUSANG BOLONG


  • Memenuhi indeks pencapaian prestasi (KPI)
  • Perlu mendisiplinkan diri untuk mencapai tuntutan tugas hakiki seperti tugas pengajaran (mendapatkan bahan-bahan terkini mengenai kandungan kuliah yang akan disampaikan), tuntutan tugas penyelidikan (mengendalikan penyelidikan berkumpulan berasaskan gran fakulti, gran universiti, gran Kementerian Pengajian Tinggi dan MOSTI (kementerian Sains, Teknologi dan Komunikasi)
  • Perlu mengagihkan masa untuk aktiviti pengembangan dan perundingan (ceramah kepada institusi tertentu di luar UPM) berdasarkan keutamaan bidang kepakaran

Skrip Drama Pentas - DR. JUSANG BOLONG


SKRIP DRAMA PENTAS – TELAH DIPENTASKAN


DR. JUSANG BOLONG


1995

  • Refleksi Puteri Gunung Ledang dipentaskan di Keningau, Sabah

1989

  • Monumen '46 dipentaskan di Tawau, Sabah

Skrip Drama Radio - DR. JUSANG BOLONG


SKRIP DRAMA RADIO


DR. JUSANG BOLONG


1996
  • Takbir Bergema Radio Malaysia Tawau, Sabah

1986
  • Semangat Petani Radio Malaysia Kuching, Sarawak

Karya - DR. JUSANG BOLONG



KARYA DITERBITKAN



DR. JUSANG BOLONG




2006

  • Ateng Kerja Gila-gila Cerdik Publications Sdn. Bhd (Novel kanak-kanak)

1999

  • Ralat (Novel Remaja) Utusan Publication & Distributor

1997

  • Novel (Novel Remaja) Utusan Publication & Distributor

1996

  • Berubah (Novel Dewasa) Tempo Publishing, Petaling Jaya

1993

  • Kasih Di Kota, Sayang Di Desa (Novel Kanak-kanak) Dewan Bahasa dan Pustaka.

1991

  • Sungai Berdarah (Antologi Skrip Drama Warisan) Dewan Bahasa dan Pustaka

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...