Thursday, April 9, 2009

Dulu kan.....

Assalamualaikum..
Sebenarnya waktu sekarang ni pukul 5.50 pagi! Haha.. Aku tak boleh tidurlah. Dah mula dah penyakit aku. Selalu kalau time exam memang macam ni lah jadinya.
Nak tahu tak sesuatu? Aku sebenarnya gembira sangat sebab aku dah siapkan projek, siap jilid lagi. Ha, yang membaca nie janganlah mencemburui aku pulak ye.. Aku bersyukur tau sebab aku dapat penyelia yang baik. Siapa lagi kalau bukan Dr. Normaliza.
Aduhai, lega rasanya. Yang tak lega tu, aku belum lagi bagi kat Dr. Mungkin hari ini jugalah sebabnya aku tak suka lengah-lengah kerja. Nanti tekanan! Aku kalau dah tekanan memang jadi bukan-bukan. Lebih baik buat kerja relaks dan cepat. Betul tak kawan2?
Sebenarnya kan, aku tengah berfikir ni, lepas ni aku nak kerja apa? Nak sambung buat master ke? Tapi tajuk apa? Aduh... Pening jugak kan fikir semua ni. Seronok belajar ni, tambah-tambah belajar sesuatu yang kita minat. Lagilah best!
Aku bukan orang pandai, biasa-biasa saja. Aku juga pernah gagal. Gagal sewaktu aku gunungkan harapan untuk melepasi sesuatu takuk. Bukan sekali aku gagal, malah berkali-kali. Tapi semua itu langsung tak mematahkan semangat aku. Kalau aku nak buat sesuatu, kalau aku minat memang InsyaAllah aku akan buat.
Dulu sebelum aku ambil kursus ni, aku teringin sangat nak jadi pendidik. Aku nak jadi guru. Tapi bila aku ukur balik diri aku, layakkah aku? Eh.. Dah azan Subuh.
Hehe..
Sambung balik.. Masa tu lah aku terima saja keputusan bahawa aku tak dapat bidang pendidikan. Masa aku kecik, aku sebenarnya menyimpan hasrat untuk menjadi penulis. Cuma aku tak tahu caranya. Tup..tap... Tuhan dah bawa aku ke sini. Betapa bertuahnya aku kan? Aku dapat apa yang aku idamkan, tapi adakalanya ada sesuatu yang perlu kita korbankan..
Azan la.. Tak seronok pula menaip. Nantilah aku cerita lagi..

Wednesday, April 8, 2009

Bergambar Bersama Beliau (Prof. Hashim Musa)

~Seronok! Menimba pengalaman baru~

Prof. Hashim Musa


Prof. Hashim Musa

Jabatan Bahasa Melayu

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi

Universiti Puta Malaysia

Serdang, Selangor

No. Telefon : +603 8946 8937

Emel : hasyim@fbmk.upm.edu.my

Anda juga boleh melihat hasil-hasil penulisan beliau di laman web FBMK, UPM. Banyak sekali hasil penulisan beliau yang tentunya mengejutkan anda. (Memang banyak!)

Sistem Tulisan Jawi dan Perkembangannya (Prof. Hashim Musa)

~Seni Kaligrafi~

Menyentuh hal-hal berkaitan dengan tulisan jawi, Prof. Hashim ada mengutarakan cadangan. Beliau mencadangkan agar bangunan-bangunan kerajaan dihiasi dengan seni kaligrafi tulisan jawi iaitu beberapa hasil tulisan jawi dahulu (surat-surat Melayu lama), dan diterjemahkan ke bahasa rumi. Sedikit sebanyak, masyarakat kita akan memperoleh ilmu dan tulisan jawi akan dapat dipertahankan. Benar juga. Tidak salah andai menghiaskan dinding-dinding dengan tulisan jawi yang sangat unik itu.

Perkembangan tulisan jawi juga semakin baik. Ramai pih
ak yang kembali menempatkan tulisan jawi di tempat yang sepatutnya. Seni khat umpamanya telah menarik perhatian bangsa-bangsa lain untuk mencuba menulisnya. Malah, ada dalam kalangan bangsa bukan Melayu ini melahirkan rasa teruja apabila terlibat dalam pertandingan seni khat. Cantik dan ada nilai. Seni itu sememangnya cantik. Apakah tulisan rumi itu berseni? Fikir-fikirkanlah.

Simbol Batu Bersurat - Tulisan Jawi -

Kalau menurut pandangan saya, tulisan rumi itu tiada seninya, yang berseni hanyalah jalinan huruf-huruf menjadi perkataan, ayat dan ayat menjadi wacana.

Pendapat Tentang Ketamadunan (Prof. Hashim Musa)

~Mencipta Sesuatu Yang Baru~

Beliau juga ada berkongsi ilmu mengenai ketamadunan. Tamadun pertama iaitu tamadun yang berasaskan pertanian. Ini tentunya, ada di antara kita pernah membaca akan Tamadun Dunia, iaitu Revolusi Pertanian itu sendiri telah membawa manusia kepada sesuatu tamadun. Tamadun itu menurut pengertian yang senang adalah mencipta sesuatu untuk kehidupan. Jadi, pertanian waktu itu telah menjadikan masyarakat pada zaman tersebut berkembang iaitu perkembangan dari segi alatan, organisasi dan sebagainya.

Kemudian, tamadun yang kedua pula ialah tamadun yang berasaskan industri iaitu penggunaan mesin, jentera dan sebagainya. Inilah yang dikatakan mencipta sesuatu yang baru untuk kehidupan. Seterusnya, tamadun yang berasaskan ICT, komputer iaitu seperti yang sedang kita lalui sekarang ini. Segala-galanya di hujung jari. Anda mendapat maklumat hari ini pun dengan hujung jari.

Masih segak bergaya

Selain itu ada lagi wujud tamadun iaitu yang berasaskan knowledge civilization. Maksudnya, siapa yang mengawal pengetahuan, maka boleh mengawal dunia. Jepun umpamanya, selalu sahaja mengejutkan dunia dengan ciptaan-ciptaan terbaru mereka. Robot itulah, robot inilah. Pengeluar kereta yang paling besar, tentunya tidak lain tidak bukan ialah Jepun. Malah, tamadun ini dikatakan tamadun yang berasaskan kreativiti. Mencipta sesuatu yang baru! Menurut Prof. Hashim lagi, murid-murid sekolah rendah telah diajar untuk mencipta sesuatu yang baru. Pada pendapat saya, hal ini tidak mustahil boleh dibawa masuk ke negara kita dan diaplikasikan. Tentunya, akan wujud generasi berdaya cipta di negara kita.

Ramalan dan Kebenaran (Prof. Hashim Musa)

~Islam dan Tamadun China akan bergabung menentang Barat? Benarkah?~

Prof. Hashim juga gemar membaca ramalan-ramalan. Maksudnya di sini, beliau terkesan dengan satu ramalan yang ditulis oleh seorang penulis barat iaitu Islam akan bergabung dengan Tamadun China dan melawan barat. Betulkah? Sama-sama kita lihat nanti.

Kelogikannya ada. Aliran Confucious yang dipercayai oleh orang China ini sebenarnya rapat dengan etika dalam Islam. Hal ini tidak
mustahil akan berlaku. Laksamana Cheng Ho umpamanya telah memeluk Islam. Pada abad ke-15, sejarah juga merakamkan bahawa ada kerjasama antara Melaka dengan China. Hebat bukan? Malah, kalau sesiapa yang ingin membaca tentang ramalan-ramalan yang telah pun menjadi kenyataan, boleh juga mendapatkan buku terbaru Prof. Hashim

~Yang ke-30~

Buku yang meramalkan
Islam dan Tamadun China akan bergabung menentang Barat.
Cuba lihat penulisnya? Orang Islamkah? Kenapa dia berfikiran begitu?


Yang Penting Bukan Wang! (Prof. Hashim Musa)




~Ilmu untuk Dikongsi~


Sebahagian sahaja.. Di bilik Prof. Hashim

Ada juga saya bertanyakan pendapat beliau, iaitu mengenai hasil penulisan yang senang-senang difotostat sahaja, sedangkan usaha untuk menghasilkan buku itu bukannya sedikit. Melahirkan pemikiran ke sebuah buku (bahan bercetak, bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan satu usaha yang tinggi. Ini merupakan satu perkara yang menarik perhatian saya ketika membaca sebuah buku bertajuk ‘Journal and Newsletter Editing’ yang ditulis oleh Josetteanne Lyders.

Prof. Hashim seperti tidak terkesan atau melahirkan kekecewaan sekali pun. Malah, beliau berpendapat yang menjadi masalahnya adalah penerbit. Penerbit itu yang berniaga. Tiada langsung kesan kepada penulis.

Saya sedikit hairan. Menunggu untuk penjelasan selanjutnya.

Saya sebenarnya tidak kisah, kerana saya percaya ilmu itu sudah pun sampai kepada orang tersebut.

Saya tersenyum. Bukan setakat dalam hati, malah senyum itu terus terpamer di wajah saya. Betapa murninya hati penulis ini, kerana soal wang bagi beliau bukanlah ukuran. Beliau bukan memperdagangkan ilmu beliau, sebaliknya menyerahkan dengan senang hati. Sememangnya, wang itu penting tetapi bagi beliau, wang bukanlah pokok utama. Yang penting ilmu.

Buku hasil tulisan Prof. Hashim

Hati Budi Melayu 'Buku Terbaru'

Penambat hati (Prof. Hashim Musa)

~Fiksyen Sains - Peminat Harry Porter~

Buku-buku yang menjadi kegemaran Prof. Hashim adalah karya Sains Fiksyen. Kadang-kadang, membaca perlu juga ada kegembiraan. Tidak hairanlah, Prof. Hashim juga salah seorang daripada peminat buku Harry Porter.

Koleksi bukan sekadar koleksi



Elemen-elemen Penting Bagi Seseorang Penulis (Prof. Hashim Musa)


~Kebijakan Seorang Penulis, Keluhuran Keperibadian~

Saya sempat bertanyakan mengenai elemen-elemen penting yang perlu ada pada seseorang penulis. Sebenarnya, hendak menulis itu perlu ada minat. Minat ini pula perlulah didorong dengan matlamat iaitu tujuan atau objektif kita menulis sesuatu bahan. Beliau sendiri memberitahu bahawa beliau ingin mengembangkan potensi yang ada pada diri sendiri. Allah s.w.t mempersiapkan seseorang manusia itu dengan potensi. Potensi inilah yang perlu digunakan tetapi semua ini perlulah pada jalan yang benar. Jalan Allah s.w.t.

Maksudnya di sini, Prof. Hashim menggunakan ilmu yang beliau ada untuk disampaikan kepada pembaca atau masyarakat. Beliau senang sekali berkongsi pemikiran beliau dengan sesiapa sahaja asalkan ilmu itu dapat dikembangkan bagi manfaat bersama. Beliau juga turut menokok bahawa apabila kita ada keyakinan, iaitu berpegang pada sesuatu, segala yang ingin kita lakukan itu akan menjadi. Menurut beliau lagi, ilmu itu ada empat:

1. Persepsi (Kadang-kadang ada juga silapnya, percaya atau tidak, kita sering menggunakan persepsi dalam menilai seseorang)

2. Kajian (Namun, tidak semua yang dapat dikaji atau diterangkan secara saintifik. Contohnya, alam kubur, alam ghaib)

3. Ilham (Apabila ada ilmu, ada keyakinan maka akan adalah ilham)

4. Wahyu (Nabi-nabi)

Berkunjung ke bilik beliau sendiri, buku-buku ilmiah tersusun kemas. Malah, itu cuma sebahagian daripada buku-buku beliau. Yang lainnya, masih ada lagi di rumah. Maka, tidaklah wajar untuk dikatakan seseorang penulis itu bergelumang dengan khayalan semata-mata, kerana Prof. Hashim sendiri ‘ulat buku’. Ilmu-ilmu yang dikutip beliau itu tidak terbatas. Beliau membaca karya-karya barat, karya-karya timur.

Buku-buku sebagai Teman Karib

Karya-karya Islam Digali

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...