Friday, August 14, 2009

Bersama Dengan Tokoh - Dr. Kamariah Kamaruddin

Usai mengaturkan gambar-gambar buat tatapan teman-teman seperjuangan, saya ingin selitkan juga di sini akan pertemuan saya dengan seorang pensyarah yang cukup kalian kenal (yang pernah belajar Teori Kesusasteraan la). Beliau tidak lain tidak bukan, Dr. Kamariah Kamaruddin. Seorang pensyarah yang kita semua cukup gerun dengan soalan-soalan yang dilontarkan beliau.

Bukan sahaja kalian, malah saya sendiri pun kecut perut apabila tiba musim kuiz. Mujurlah, dengan berkat kesungguhan beliau mengajar kita, banyak yang terlekat dalam minda ini. Sebenarnya, agak susah juga untuk saya merapati mana-mana pensyarah kerana sememangnya saya ada simptom 'takut'. Pernah saya bertanya teman-teman, mengapa tidak kita selalu berjumpa pensyarah? Jawaban teman-teman hampir sama dengan saya Kami semua terlalu bimbang kalau-kalau sebarang bicara yang terkeluar akan menggores hati mereka. Malah, kadang-kadang lebih baik sebarang pertanyaan itu dicari sendiri segala jawabannya kerana risau juga kalau-kalau soalan yang ditanya itu dianggap soalan remeh dan membuang masa. Semua ini mungkin pernah terjadi dalam kamus hidup masing-masing, sebab itulah para pelajar lebih gemar untuk mencari penyelesaian sendiri.

Berkenalan dan cuba merapati tokoh yang saya bawakan kali ini tidaklah sesukar seperti yang dibayangkan. Ia bermula selepas tokoh yang merupakan pensyarah saya ini bertanyakan kalau-kalau ada sesiapa yang mahu menyertai Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi. Asalnya, saya seperti tergamam. Minat menulis itu memang ada tetapi selepas mendengar nama keseluruhan bengkel itu, keputusan saya mahu menyertai bengkel tersebut terbantut. Sungguh, saya tidak mempunyai minat ke arah bidang sains walaupun saya tahu akan kepentingannya. Saya lebih gemar berceloteh akan hal dunia yang istilah-istilahnya tidak sesulit istilah sains. Cukup tidak boleh memecah benteng otak saya.

Kemudian, teman-teman seperjuanganlah yang menggesa saya dengan alasan, cuba dulu baru tahu. Mereka memujuk dengan memek muka yang pelbagai. Akhirnya berbekalkan beberapa orang teman, saya ikut menyertai bengkel tersebut. Seronok mendengar pelbagai ceramah dan nasihat dalam slot-slot yang dijadualkan. Saya juga berpeluang bertemu dengan penulis-penulis seperti Nisah Haron, S.M Zakir, Dr. Amida @ Kak Anis dan ramai lagi. Bermula dengan inilah saya semakin berani untuk berhadapan dengan pensyarah saya ini.

Belajar dalam kuliah Dr. Kamariah, banyak mengajar saya meneroka buku-buku lain serta menanamkan sikap suka membaca dalam diri saya. Selebihnya saya beruntung kerana berpeluang berdiskusi kecil mengenai hal-hal dalam dunia penulisan. Teori Kesusasteraan yang saya pelajari ini padat dengan kemahiran-kemahiran memasukkan nilai-nilai ke dalam sesuatu karya. Malah, ingin sekali saya menggunakan beberapa teori yang ada ini dalam hasil karya di masa depan. InsyaAllah...

Sebelum pulang ke kampung setelah selesainya majlis konvokesyen, saya membuat rancangan dengan dua orang teman lain ingin berjumpa dengan beliau. Waktu itu, kami semua sedang mengambil gambar-gambar kenangan di fakulti jadi tidaklah salah meluangkan sedikit masa bertemu dengan pensyarah ini. Mujurlah sewaktu saya menelefon beliau, beliau baru sahaja selesai kerja. Penat..Ya memang nampak penat. Tambahan, saya lihat beliau sudah berbadan dua. Tentu pekerjaan beliau bertambah mencabar. Apapun, saya harap beliau tabah menghadapinya kerana beliau terlebih dahulu makan garam daripada saya.

Saya membeli tiga buah buku yang penulisnya ialah beliau sendiri. Buku yang dimaksudkan ialah seperti di bawah :
- Sebuah Syakirah
- Mencari Kamil
- Berapa Harga Segulung Ijazah (yang terbaru)


Sebenarnya, saya dapat harga istimewa. Begitu juga dengan Hilmi. Terima kasih Dr. .

Baiklah, kembali mengenal tokoh kali ini, saya ingin bongkarkan peribadi beliau semasa di kuliah di blog ini. Beliau memang serius dan saya akui kesungguhan beliau ini sebenarnya mengajak dan mengajar anak bangsa supaya sedar daripada lena. Beliau akan marah jika pelajarnya main-main dan saya akui ketegasan beliau memang cukup digeruni oleh saya dan teman-teman lain. Yang pasti, beliau acapkali menekankan soal agama dan budaya remaja masa kini. Kadang-kadang terlepas juga pujian menggunung beliau andai kata pelajar-pelajar beliau memberi fokus dalam kuliah beliau. Malah, senyumnya meleret-leret kerana puas dengan jawaban bagi soalan-soalan yang diajukan. Saya kira, semangat perjuangan beliau sehingga ke peringkat PHD ini sedikit demi sedikit cuba diterapkan dalam diri pelajar-pelajar.

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan dr. Kamariah Kamaruddin. saya bersyukur kerana dapat duduk berbual dengan pensyarah yang tidak lokek dengan ilmu dan dorongannya kepada saya dan teman-teman lain.


Buku-buku yang ditulis beliau terselit kisah suka duka beliau mengejar cita-cita sedikit sebanyak menggamit semangat saya untuk terus berkobar dan menjelajah dunia ilmu dengan lebih jauh lagi. Malah, ketika saya bertemu beliau baru-baru ini, beliau nampak begitu gembira walaupun riak wajah beliau nampak letih. Kalau ikutkan hati, mahu saja saya duduk sepanjang hari mengorek rahsia beliau.

Saya berkesempatan mengambil gambar bersama dengan beliau dan saya paparkan di sini buat kalian tatapinya. Juga saya selitkan kata-kata semangat beliau untuk saya sebagai perangsang buat kalian semua dan saya sendiri.

Wassalam. Guru itu ibarat lilin yang membakar diri.

p/s : Sedih kerana tidak berkesempatan bertemu dengan Dr.Lim Swee Tin, Dr. Normaliza, Dr. Samsina (PA), Dr. Arbak dan banyak lagi. Apapun, terima kasih yang tidak terhingga buat kalian semua. Saya mohon dimaafkan salah silap saya.


Hari Konvokesyen 6

Hari Konvokesyen 5


Thursday, August 13, 2009

Hari Konvokesyen 4

Hari Konvokesyen 3



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...