Saturday, December 26, 2009

Mak Dah Setuju!! Yey.....


Alhamdulillah.. Malam ini emak saya menyatakan persetujuan untuk membenarkan saya menyambung pelajaran ke peringkat Master. Semua ini telah saya fikirkan tetapi masih belum 'masak' lagi. Terlalu banyak dugaan yang saya hadapi, dan saya tidak mungkin dapat lakarkan di sini. Cukuplah sekadar saya memberi alasan bahawa saya menyambung belajar untuk menambahkan ilmu di dada. Selebihnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu sebab saya ingin membawa diri.
Namun, semua ini bukan lagi muktamad kerana saya harus juga menilai persediaan diri nanti. Saya harus bekerja keras untuk mencari wang perbelanjaan sendiri. Saya sudah besar dan tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain. Hanya Tuhan yang akan memberi petunjuk ke atas keputusan saya nanti.
"Sambung atau tidak?"
Ah, sukar sekali untuk membuat keputusan. Pokok utama, emak saya dah pun merestui pilihan saya. Saya pasti dia faham kedukaan hati saya saat ini. Saya harus berjuang.
Saya tidak betah untuk terus menghadapi semua ini dan atas sebab itulah saya harus dipimpin oleh emak, keluarga dan teman-teman. Emaklah tunjang kekuatan saya. Baru saya sedar, bahawa selama ini saya telah banyak mendukakan hatinya. Maafkan kak.
Cuma, saya terfikir juga 'Kalau hendak buat Master, apa tajuk saya nanti?'
Yang pastinya minat saya cenderung dalam bidang penulisan. Apakah itu arah tuju saya?
Entahlah... Semuanya bukan dalam ketentuan kita. Kita hanya merancang. Saya amat berharap yang keputusan saya ini tidak salah. Saya tahu emak risaukan saya kerana masih belum mempunyai pekerjaan. Yalah, saya seorang sahaja anak perempuan dan tentu sekali emak risaukan masa depan saya. Kalau saya dah dapat kerja, tidak perlulah saya menyusahkan emak untuk memikirkan saya lagi.
Cukuplah dengan segala pengorbanan emak kepada saya semenjak dari kecil. Sudah terlalu cukup.
Terima kasih kerana membaca 'Mak dan setuju!! Yey....'
Saja nak berkongsi kegembiraan.. Lagipun restu mak tu penting kan?

Wassalam..

Kucing saya yang nakal - AeChot

Tuesday, December 22, 2009

Penempatan Pekerjaan

Semalaman saya tidak tidur kerana mempersiapkan diri untuk menghadapi hari 'Penempatan Pekerjaan' di Perlis ini. Saya menyusun semula sijil-sijil termasuklah membuat salinan serta memfailkannya. Semuanya lengkap, sehinggalah saya mentelaah nama-nama menteri. Memang tidak tidurlah kerana bimbang sukar untuk bangun semula.
Pagi-pagi lagi kawan saya sudah telefon, bimbangkan saya. Saya bersama seorang lagi kawan meredah pukul 9 pagi itu untuk ke satu tempat yang jarang kami pergi walaupun Perlis ini kecil cuma. : )
Kami tersesat sampai ke kilang gula. Mujurlah teman saya ini jenis yang suka bertanya, maka senanglah kami sampai ke tempat yang ingin ditujui. Di kawasan Chuping, tentu sekali perjalanan hanya berlatarkan pemandangan hijau iaitu pokok tebu, dan getah. Bagi saya cukup membosankan kerana sunyi dan sepi tetapi dari segi lain, saya suka juga kerana di tempat-tempat lain tiada yang seperti di Chuping ini. Unik. Kawasan pertanian yang luas sangat.
Berbalik cerita saya tadi, saya dan teman saya ini berbincang, "Kalau jawatan tu tak sesuai?" tanya saya sambil mula mengagak sesuatu dalam fikiran.
Teman saya tenang sahaja sambil memandu.
"Kita baliklah." dia tersenyum.
Lega hati saya kerana saya yang mengajaknya untuk ke situ. Yalah, kain rentang yang seolah-olah bertindak mempromosi juga dipasang merata-rata. Jadi saya ingat pekerjaan yang ditawarkan juga bagus.
Pencarian kami akhirnya menemui jawapan. Ketika mencari kawasan memarkir, saya sempat mengerling beberapa papan di luar dewan yang di atasnya ada beberapa tampalan kertas. Saya dalam keadaan mata besar yang dikecilkan, cuba meneliti jawatan-jawatan tersebut. Ah, sama seperti yang saya fikirkan. Tak apalah, sekejap lagi saya tengok lain. Ujar saya dalam hati.
Selepas turun dari kereta, kami berdua menuju terus ke papan tersebut. Terdengar juga dari dalam dewan ada nombor yang dipanggil. Dalam hati, alamatnya kami nombor ke berapalah agaknya.
Usai meneliti, saya dan teman tersenyum. "Hang nak ka?" soal saya dalam loghat utara yang sememangnya menjadi kebanggaan kami.
"Hang?" dia menyoal saya kembali.
"Dok kot." Saya senyum. Dan saya melihat dia pun senyum.
Kami berjalan seiringan sebelum mengambil keputusan untuk pulang.
"Mujurlah kita tidak terlalu meletakkan harapan tinggi. Kalau tidak kecewa juga."
Dia mengangguk setuju.
Sebelum pulang, sempatlah juga berjumpa dengan beberapa orang yang dikenali. Dan ada juga yang seperti kami, turut pulang.
Bukanlah saya jenis yang memilih pekerjaan, tetapi saya tidak berminat untuk bekerja di sektor perkilangan. Rasanya, lebih baik saya berniaga di kedai makan emak saya. Gajinya lebih daripada sektor perkilangan tawarkan. Di Perlis, gaji bekerja sebagai operator pengeluaran bukanlah seperti di Kedah, Penang dan lain-lain negeri. Gajinya kecil dan kerjanya teruk.
Lagipun, ia jauh dari tempat tinggal saya. Teman saya pula dah sememangnya pandai menjahit dan juga berniaga kecil-kecilan seperti saya.
Sebenarnya, apa yang saya hendak tekankan di sini ialah program penempatan pekerjaan seperti itu sepatutnya harus menyenaraikan tentang peluang-peluang pekerjaan yang ada. Maka, tidak timbullah masalah salah faham kepada pencari kerja. Ada saya berjumpa kawan-kawan yang turut pergi, dan mereka berkata, "Kalau setakat kerja macam tu, minta di kilang tu pun boleh."
Saya pun sependapat dengan dia.
Sekalipun tidak menyenaraikan secara terperinci, senaraikan pekerjaan itu secara rawak agar pencari kerja tahu tentang hal tersebut. Hal inilah yang menyebabkan pencari kerja menjadi tidak berminat jika program seperti ini dibuat semula kerana persepsi mereka akan sama. Mereka akan serik. Percayalah.
Ada seorang kawan saya, pergi ke Langkawi, dan hasilnya seperti ini juga. Hurm.. Kasihan.
Bukanlah masalah tentang jenis pekerjaan tetapi masalah dari kurangnya maklumat terperinci mengenai jenis pekerjaan tersebut yang sebenarnya mengundang walang di hati pencari kerja.

Saya amat berharap hal ini akan dapat diperbaiki untuk kebaikan masa depan iaitu dari segi sambutannya.

Sekian..

Saturday, December 19, 2009

Iktibar -- Rumah di tengah syurga..

mari ambil iktibar............

Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."
(Riwayat Anas Bin Malik)
Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan 'orang yang beralah akan menang besar kemudiannya? '
Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."
(Riwayat Ibnu Mas'ud RA)
Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.
wallahualam

Thursday, December 17, 2009

Mencari Kesalahan Orang Lain Memang Senang!!!

Kenapa manusia sering mencari kesalahan orang lain sedangkan diri sendiri pun banyak salahnya? Ha, kali ini ada satu kes yang terjadi di kampung aku. Yalah, tentu sekali melibatkan pasukan futsal aku.
Semua ini kemungkin gara-gara aku membawa masuk satu sukan yang orang kampung sendiri tidak terfikir. Walhal, futsal wanita ini sebenarnya sudah lama wujud cuma belum sampai di kampung aku.
Jadi, masalah banyak sangat berlaku iaitu dari segi pemikiran dan pandangan sesetengah orang tua. Ada juga yang 'sporting' dan boleh dibawa berbincang tetapi ada satu golongan ini, yang seperti aku tulis di ataslah, sering mencari kesalahan orang lain. Marah? Ya memang aku marah.
Semenjak dari awal pembabitan lagi, futsal wanita sering dijadikan bahan kutukan, bukan kerana tidak tahu bermain, tetapi kononnya tidak bersesuaian.
Yang terbaru, ada seorang jurulatih secara sukarela tanpa dibayar walau sesen pun bertindak mengajar futsal wanita. Usianya adalah dalam lingkungan pakcik (40-an). Bersyukur juga sebab dalam sibuk kami mencari orang yang sudi mengajar, ada juga orang yang sanggup turun padang.
Hendak dijadikan cerita, baru-baru ini ada forum agama, maka dengan secara dirancang soal pakcik ini muncul di padang akhirnya dikritik hebatlah. Hurm.. Yang pertama mereka telah menjatuhkan maruah pakcik ni, yang kedua, mereka menuduh budak-budak yang turun main ini melakukan maksiat. Oh, terkutuk betul!!!
Aku yang urus, aku yang memerhati, tidak ada pun unsur2 maksiat. Tidak ada pula yang bercumbu. Sebaliknya, beberapa orang di antara kami sudah berkahwin, dan yang lain tidak pula membawa jejaka idaman ke padang. Aduyai... Aku pun tak faham apa yang tidak kena lagi.
Malah padang futsal yang disumbangkan oleh kerajaan, dipolitikkan dan cuba dibuat satu benda yang berharga sehingga mahu menetapkan harga di luar kemampuan anak-anak di kampung. Mereka tidak fikir pekerjaan ibu bapa anak-anak tersebut sebaliknya lebih mengutamakan wang ringgit. Itu yang utama. Selebihnya mencari salah silap anak-anak muda di kampung sedangkan yang tua berpeleseran dengan anak bini orang boleh pula mereka tutupkan.
Inilah satu-satunya pendekatan yang kurang bijak, iaitu memaksa dan tidak pernah mahu merapati anak-anak muda di kampung. Menilai secara luaran semata-mata dan kemudian menjadikan ia isu besar. Patutkah?
Bijakkah orang-orang tua yang berpengalaman jika bertindak seperti itu? Anak-anak muda harus dirapati, dan sebarang teguran harus kena dengan caranya. Bukan mendiskusi hal ini secara terburu-buru.
Aku rasa golongan seperti inilah yang sebenarnya membantutkan usaha pembangunan sukan. Seronokkah mereka andai maksiat berleluasa dalam diam, seronokkah mereka andai mat-mat rempit semakin bertambah, seronokkah mereka andai dalam satu komuniti itu wujud masyarakat yang tidak saling kenal-mengenal?
Apa patut aku buat? Aku sudah bosan dengan isu mencari kesalahan orang ini.

Friday, December 11, 2009

Sehingga DIsEmbEr 09- rumus hidupku

Wah... Agak lama juga saya tidak menulis di blog ini kan? (Skema..kah3)

Sebenarnya, saya sibuk dengan urusan harian yang tidaklah penting sangat tetapi cukup menghiburkan. Seronok apabila kembali ke kampung. Kawan-kawan dan aktiviti setiap hari memang tidak dapat diceritakan kegembirannya. Sungguh, memang seronok sangat!

Kawan-kawan seperjuangan sudah tentu hendak mengetahui perkembangan sesama kita kan? Hurm, saya tak kerja lagi (walaupun selalu cakap 'aku', 'k.ra' tapi sengaja je nk skemas..keh3). Hampir sebulan lebih saya dipanggil oleh guru yang baik dengan saya agar membantunya di koperasi sekolah. Seronok tu seronok jugalah tapi dalam masa yang sama malu juga sebab saya masih lagi belum mendapat pekerjaan yang tetap.

Kemanisan di sekolah tu adalah apabila dapat bergaul dengan adik-adik yang sedang berjuang dengan subjek-subjek di sekolah. Bukan apa, dulu saya pun pernah merasainya. Nak kata bosan tu bosan juga tapi mujurlah teman-teman saya semuanya bagus-bagus. Jadi, pergi sekolah kalau ada teman sekepala memang mengggalakkan.

Saya juga mengintai peluang pekerjaan lain tetapi setakat sekarang ni baru hendak berjinak dengan persatuan penulis di Perlis. Yalah, saya minat sangat menulis tetapi rasa macam ilmu penulisan itu masih belum mencukupi. Saya harus belajar dan terus belajar.

Malamnya, sehingga malam ini saya berniaga di kedai makan mak saya. Itu pun di depan rumah kami yang tidaklah cantik sangat. Haha.. Bolehlah sedikit duit untuk belanja.

Petang, saya main futsal dengan pasukan perempuan dan juga lelaki. Alahai, adik-adik saja. Yang besar-besar tu malas pula nak layan. Segan beb! Seronoklah berkawan dengan budak-budak sebab sedikit sebanyak kita tahu masalah dan perkembangan mereka.

Saya ada minta banyak kerja, tetapi belum rezeki. Yang dipanggil untuk temuduga pun hanyalah di Karangkraf tetapi tak tahulah rezeki saya macam mana kan? Sampai waktu ni, tiada pun panggilan. Jadi, saya redha sebab semua itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t.

Masalah saya memang BESAR! Setiap kali hendak ditemuduga, kebanyakannya di Selangor. Mana saya ada duit banyak2? Kos hari tu pun RM 3 ratus lebih. RM 1 ratus untuk tambang dan makan peneman, selebihnya kenderaan untuk ke satu tempat yang saya tidak tahu nak pergi pun. Susah ! Saya bukan orang kaya, saya orang kampung, hidup biasa. Saya bukan anak Dato', saya bukan anak hartawan, kalau ada panggilan temuduga yang banyak sekalipun, saya tak mampu nak pergi kerap2.

Selebihnya, harapan saya banyak ditumpahkan di negeri sendiri yang sungguh kecil peluang pekerjaannya. Hendak tinggal di Selangor? Dengan siapa saya boleh menumpang? Bagaimana dengan makan sehari-hari? Semua ni membuatkan saya semakin terbeban. Apatah lagi, dalam keluarga saya, hanya saya yang disandarkan harapan. Adik-beradik lain lelaki, dan biasalah.. Lelaki bukan seperti perempuan. Yang paling membebankan, apabila status menara gading ni menyebabkan orang selalu bertanya, kerja apa? La...tak kerja lagi?

Owh, sungguh perit. Saya diamkan sahaja. Sengih..

Semoga saya akan mendapat pekerjaan kelak. Kalian juga... Amin...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...