Tuesday, January 12, 2010

Pengalaman Sehari Sebagai Pendidik


Tahun 2010 ...

Walaupun dugaan bertimpa-timpa tetapi saya masih kuat untuk menjalani hidup seperti biasa. Malah, saya rasa tahun 2010 ini akan dilalui dengan tenang sekali. Untuk makluman kalian yang sudi menjengah ke kamar blog yang agak lama tidak dikemaskini ini, saya kini telah bergelar guru tuisyen. Seronok tidak terkatalah kerana impian untuk menjadi pendidik tercapai juga walaupun hanya di pusat tuisyen.
Kala inilah saya mulai sedar bahawa menjadi pendidik itu tidak semudah gaji bulanan yang diterima. Tambahan jika anak murid masih bertatih dalam dunia ilmu. Lucu itu memanglah, tetapi selebihnya saya sendiri khuatir andai tidak dapat memberikan yang terbaik untuk anak murid yang masih belum tahu membaca. Alhamdulillah, berkat kekuatan menuntut ilmu bersama pensyarah-pensyarah, ada juga ilmu-ilmu pendidikan yang dapat digunakan terutama ketika saya menjalankan projek autisme di tahun akhir dulu.
Secara tidak langsung, saya dapat mendekatkan diri dengan karenah anak murid. Malah, saya juga mengakui bahawa saya tidak pernah terjangka akan ditanya dengan soalan-soalan seperti di bawah ini.

Ini adalah karangan yang tersedia di dalam buku.

Nina teman sekolah saya. Dia belajar dalam Tahun Dua Cerdik. Dia gemar akan nasi lemak.

Murid saya senang saya namakan dengan 'A' (seorang kanak-kanak lelaki), dan saya pula 'Z'.

A : Cikgu, kat sekolah saya tak ada nama Nina pun. Tapi..kawan saya nama Azizi.
Z : Oh, itu di sekolah. Ini dalam buku. (waktu ni saya putus akal)
A : Lagipun di sekolah saya tak ada Tahun Dua Cerdik. Saya Dua Pintar.
Z : Oh, tak ada? Nanti adalah tu. (Saya cari helah tukar topik)
Erm, kat sekolah A, awak dapat apa dalam Bahasa Melayu? Masa darjah satu dulu.
A : Tapi...saya tak ingat. Terlupa. Tapi....sekolah tu dah roboh. Sebab tu lah saya tak ingat.

Masa tu mahu saja saya gelak. Namun, mengenangkan wajahnya yang langsung kudus, saya simpan sahaja dalam hati.

A : Cikgu, akan tu apa?
Z : (Cuba tengok 'akan' di ayat terakhir)
Oh, ini sebenarnya 'makan'. Agaknya terlupa letak huruf M. (Itulah yang termampu saya balas memandangkan dia memerlukan jawapan. Jika saya terangkan 'akan' dari sudut Bahasa Melayu yang sebenar, saya pasti dia tidak mungkin memahaminya. Salahkah saya?)


Terlalu banyak cerita manis, kelakar yang saya dapat sepanjang mengajar anak murid saya. Minggu depan, akan ada dua orang. Kedua-duanya diajar secara perseorangan kerana memerlukan perhatian yang lebih.

Malah, saya juga sudah berkira-kira untuk membuka tuisyen di rumah untuk anak-anak kecil di kampung dan juga pelajar sekolah menengah yang pastinya tahu akan kepentingan Bahasa Melayu dalam peperiksaan. Saya tidak mengenakan caj yang tinggi.

Untuk sekolah rendah, hanya RM 3 sejam setengah, seminggu 2 kali, untuk semua mata pelajaran.

Wah, seronoknya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...