Saturday, February 27, 2010

Benar Pepatah Usaha Tanda Kejayaan

Bersua lagi kita dalam berkongsi pahit manis kehidupan. Kemungkinan besar sesuatu persoalan yang sedang melanda diri kita sedikit sebanyak dapat dijawab secara tidak langsung dengan perkongsian di medan tiada sempadan.

Waktu sekarang sudah pukul 2.34 pagi, hari AHAD. Esok saya akan mengajar di waktu pagi iaitu pukul 9 pagi hinggalah pukul 1.30 tengah hari. Penat? Memang penat. Baru sahaja sebentar tadi bertungkus-lumus mengetuk kuali demi mencari rezeki. Berbalik kepada topik besar di atas, sebenarnya saya ingin sekali menghuraikan sebuah kehidupan yang memegang pepatah 'Usaha Tanda Kejayaan'.

Bagi meneruskan kehidupan selepas tiga tahun berhempas pulas sebagai mahasiswa, tentu sekali apabila tamat pengajian kita harus membuktikan bahawa kita sudah boleh berdikari. Mungkin pada kala itu yang terbayang di kotak fikir hanyalah gaji sebanyak 2 ribu dan nama pekerjaan yang meninggikan hidung tika berjalan di hadapan teman-teman. Justify Full

Malangnya, kehidupan tidak seperti yang kita fikirkan. Tidak semudah memetik jari, tidak semudah mengerlipkan mata. Semuanya terlalu rencam. Tidak sahlah andai kita tidak diuji dengan liku-liku hidup sebegitu. Buktinya, ramai di antara teman seperjuangan masih menganggur. Manakala teman-teman yang tidak menjejak kaki ke universiti sudah menjadi penjawat awam. Memanglah gaji di tahap SPM, STPM tetapi untungnya mereka itu sudah bekerja dengan KERAJAAN. Suatu bonus dan hikmah yang mereka sudah terima waktu ini. Saya? Harus terus berusaha tanpa berputus asa.

Ada suatu perkara yang ingin saya kongsikan. Kadang-kadang kita tidak boleh lari daripada masalah. Kenapa? Hal ini kerana setiap masalah itu akan membawa kita ke suatu perjalanan lain. Kemungkinan perjalanan itu memerlukan pengalaman daripada masalah yang telah kita lalui. Itulah dinamakan pengalaman. : )

Maka, dengan senangnya saya harus lalui pengalaman melakukan pelbagai kerja dalam satu-satu masa. Saya harus menjadi tukang masak, pendidik di pusat tuisyen dan terus berkarya.

Berkarya bukanlah satu medan mencari wang. Berkarya merupakan satu langkah saya menyuarakan sesuatu perkara dan mengasah bakat saya agar lebih tajam untuk masa depan. Hal ini sesuai sekali dengan dorongan pensyarah-pensyarah kesayangan saya seperti Prof Madya Dr. Lim Swee Tin, Dr. Kamariah Kamarudin, dan banyak lagi.

Kepadatan jadual saya menyebabkan aktiviti berkarya sedikit terganggu. Namun, syukur alhamdulillah, cerpen-cerpen saya sudah bertambah. Mungkin di lain waktu saya bisa meluangkan masa mengupas sedikit demi sedikit mengenai cerpen-cerpen tersebut.

Kita harus berusaha dalam kehidupan biarpun impian yang kita hajati itu belum menampakkan tanda-tanda akan tercapai. : ) Namun, harapan menggunung itu sentiasa tersemat di sanubari agar saya mampu menjawat jawatan yang baik.

Berfikir secara kritis dan kreatif bukan setakat menjawab soalan peperiksaan tetapi juga apabila kita hendak mencari rezeki. Mungkin kalian boleh menambahkan pendapatan dengan berniaga burger, air dan lain-lain.

Itulah.. Kalau hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Selamat berusaha untuk saya dan semua.

Semoga berjaya.. : )






Tuesday, February 16, 2010

Sahut Cabaran 1-2 jam sahaja di Facebook

Rata-rata manusia waktu ini mengejar kepopularan Facebook termasuklah saya sendiri. Untungnya, Facebook merupakan satu laman sesawang yang cukup menghiburkan baik dari segi kelancaran mengutarakan beberapa pendapat yang agak serius, satu tempat pertemuan teman-teman lama, satu medan hiburan bersama teman-teman, dan juga yang lebih asyik apabila ditawarkan beberapa permainan yang agak menarik seperti Farmville.

Natijahnya, beberapa perkara yang sepatutnya berjalan dengan baik terbantut kerana keasyikan FB. Buktinya saya sendiri. Sudah agak lama tidak mengemaskini blog, sudah lama tidak menulis karya, sudah lama membekukan minda dengan tidak membelek berita online, dan penyakit imsomnia semakin menjadi-jadi.

Maka, waktu yang senggang begini saya cuba mencermin peribadi diri yang sedikit tersasar. Bukan kerana Facebook tetapi kerana kelemahan diri sendiri yang agak cuai dan alpa dengan sedikit godaan. Padahal sebagai manusia yang berakal kita boleh berfikir dengan waras akan sesuatu perkara yang kita lakukan. Masalahnya, pernahkah kita berfikir untuk itu?

Jadi, dengan asas itulah maka saya berazam untuk mengurangkan masa mengunjungi Facebook daripada hampir 24 jam sehari kepada 1-2 jam sahaja dengan kadar waktu yang sesuai. Sahutlah cabaran ini kerana kita mampu melakukannya.

Mari kita lakukan sesuatu perkara yang lebih berfaedah dan memanfaatkan masa-masa bernyawa ini dengan sebaik-baiknya agar kehidupan di dunia dan di akhirat tidak rugi.

Peringatan ini bukanlah untuk menasihati orang lain semata-mata tetapi lebih kepada peringatan dan janji saya terhadap diri sendiri.

KPLI dan DPLI sudah pun cair. Kemungkinan besar saya tidak jadi menyambung Master kalau mendapat tawaran belajar tersebut. Teringin benar nak menjadi pendidik....

Semoga Allah s.w.t makbulkan..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...