Sunday, March 14, 2010

Sepi dan Sunyi ~ Jiwaku Menjerit

Entah perkara apa yang sedang hilang. Hidup terasa kosong sahaja hari ini. Persis hilang harta benda. Kenapa? Alam masih seperti biasa. Malam tetap datang. Angin sedikit kurang.

Hah, keluhku seolah-olah tiada bersambut. Melontarkan perasaan sepi dan sunyi ini agar ada yang tahu. Kedukaan? Tidak! Aku hanya kesepian. Sepi pada waktu-waktu sepi. Jiwa sunyi. Kosong.

Benarkah kata-kata tidak mampu melambangkan perasaan waktu ini? Ah, mungkin juga tetapi adakalanya kata-kata ini walau kurang tepat untuk menerangkan arah jiwa aku saat ini, rasanya masih mampu untuk cuba mengisikan ketenangan. Ya, menulis untuk tenang. Menulis ubat jiwaku.

Jika bukan pada sesiapa yang mahu mendengar, di sinilah kulakarkan kesepian. Yang tiada manusia lain menyergah sepiku. Yang hanya ada aku sendirian. Berteman? Hanya unggas malam, deru kipas yang sentiasa terpasang, cahaya lampu yang sentiasa terang.. Itulah teman waktu ini. Waktu aku sepi sendirian.

Tentu ada yang tertanya-tanya, entri apakah ini? Langsung tidak faham. Langsung memeningkan. Lantaran itu, hanya termampu aku balas adalah aku ingin melukiskan sebuah perasaan sepi, sunyi dan kosong.

Sunyi. Sepi. Kosong. Kenapa? Tentu ada silap yang aku terlepas pandang. Mungkin. Ya. Mungkin benar.

Ya Tuhan, jika benar berilah petunjuk-Mu, agar langkahku tidak tersasar. Jiwaku harus hidup. Jiwaku harus dibungai dan harus harum mewangi.

Sudah kian lama, perasaan seperti ini tidak bertandang dan hari ini aku terasa ingin menjerit! Ingin keluar melayan angin malam. Menjerit! Ah, hilang akal..

Ya Tuhan, tenteramkanlah aku. Ampunkan dosa-dosaku. Aku ingin semangat jiwa kembali. Aku ingin melayar kehidupan ini dengan makna-makna yang jelas.

Amin..

Sunday, March 7, 2010

Kucing Dikasih Bayi Disisih

Semakin dunia hendak hancur, semakin bertambahlah perbuatan terkutuk di dunia.

" Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." - Sahih Muslim (sumber Wikipedia Ensiklopedia Bebas, akses pada 8 Mac 2010)

Kes pembuangan bayi semakin galak berlaku sejak akhir-akhir ini. Sampaikan ada suatu tika, saya terfikir untuk mempromosikan diri sebagai 'ibu' kepada bayi-bayi malang itu. Yang masih hidup ketika dijumpai ternyata masih beruntung kerana masih boleh melihat dunia dan andai ada keuntungan yang lebih tentu saja anak itu boleh melihat insan yang membuangnya lebih daripada binatang.

Kenapa manusia sanggup mengetepikan soal kasih sayang semata-mata hendak menjaga maruah diri? Takut diketahui melahirkan anak luar nikah? Maruah di bawah telapak kaki? Atau mungkin sukar bergerak setelah ada bayi?

Masalahnya, mereka tidak berfikir panjang. Mungkin buntu dengan segala permasalahan yang menimpa. Ingatlah, segala masalah pasti ada penyelesaian. Saya sendiri pernah tersadung kerana terlalu mengikut perasaan. Apabila diimbas-imbas, rupa-rupanya ada kewajipan yang saya abaikan.

Bayangkanlah, binatang pun sayangkan kucing. Inikan kita sebagai manusia yang darjatnya sangat tinggi. Kenapalah memalukan kaum manusia dengan perlakuan lebih daripada binatang?

"Cakap senanglah, aku yang menanggung!"

Mungkin inilah salah satu jawapan apabila menerima nasihat tentang hal sebegini. Sesuatu yang boleh dijangka.

"Sesat seorang diri takut lebih jauh tersesat, apatah andai jumpa orang lain yang juga sesat, maka akan sama-sama sesat."

Maka, carilah teman-teman yang mukanya nampak tenang, ilmunya berelung-relung, mintalah nasihat dan sekalipun semuanya tidak dapat diikut, satu pun jadilah. Lama-kelamaan, akan jadi bukit.


Saya menulis bukan kerana saya orang bijak pandai, berilmu tinggi, atau mungkin kalian menganggap 'bercakap mengalahkan ustazah' barangkali. Sebenarnya, saya juga hampir sama seperti kalian yang tersesat tetapi dalam masa yang sama saya sering menilai diri saya sendiri (muhasabah). Apa guna kemudahan internet andai tidak membuat carian tentang sesuatu yang bermakna?


7 Mac 2010, Ahad :

Saya memandu Proton Iswara emak saya untuk mengajar di pusat tuisyen. Waktu itu, keadaan agak sibuk jugalah. Banyak kereta lalu-lalang walaupun tidak seteruk di Kuala Lumpur.
Tragisnya, saya hampir melanggar seekor anak kucing yang lagaknya seperti ayam.

Kucing yang saya hampir langgar itu mirip kucing ini. Kebetulan pula ada di Google.

"Jangan jadi macam ayam. Ayam tak tahu apa-apa."

Mujurlah saya sempat membrek. Jika tidak, seumur hidup saya akan diselubungi sesal. Memang jiwa saya dengan binatang cukup akrab. Kucing ibarat teman di waktu sunyi. Keletah manja dan lucu kucing sentiasa menenangkan hati. Mungkin bagi orang lain, kucing menggelikan. Biasalah manusia, ada benda dimakan ada benda terasa loya hendak ditelan.

Sejak dari kecil lagi, memang rumah saya tidak pernah ketandusan kucing. Andai kucing-kucing terkena penyakit, pasti akan ada pendatang baru. Rumah saya sudah jadi pusat kebajikan kucing. Mesti ada kucing dibuang di depan rumah.

Telinga saya sendiri sudah peka dengan ngiauan kucing. Cukup tersentuh! Percaya atau tidak, saya akan menjadikan kucing teman borak saya. Saya percaya mereka faham. Ya, cubalah. Walaupun kadangkala disalahertikan. : )



Dulu, masa saya di bangku sekolah rendah, saya pernah mendapat hadiah pembaca terbanyak kerana saya kerapkali mengunjungi perpustakaan sekolah. Biasalah, setiap minggu akan ada calon-calon yang dipilih guru. Hadiah yang saya dapat itu juga merupakan sebuah buku cerita. Jika tidak salah tajuknya, Si Wira. Ceritanya berkenaan seekor kucing juga. Pengarang melahirkan perasaan kucing yang menumpang di rumah tuannya dengan baik sekali sampaikan saya menitis air mata. Cukup mengesankan!


Abu Hurairah r.a.
sendiri digelar dengan nama tersebut juga kerana kasih sayangnya kepada kucing. Dan pernah suatu ketika, Rasulullah s.a.w. bertanya akan sesuatu yang berada dalam lengan bajunya. Sesuatu itu tentu sekali kucing yang merupakan kegemarannya.

Rasulullah s.a.w. sendiri menyayangi kucing. Ada suatu cerita mengatakan bahawa ada seekor kucing tidur di serban baginda tetapi Rasulullah s.a.w. tidak mengangkat pun kerana kucing itu sedang tidur. Juga di lain cerita, Rasulullah s.a.w. pernah memotong lengan baju yang menjadi tempat tidur kucingnya yang bernama Mueezza. (Info ini saya dapat daripada blog salah seorang hamba Allah s.w.t.)

Justeru, andai binatang sendiri pun menyanyangi anaknya, inikan pula kita sebagai manusia yang boleh mencari wang, makanan, pakaian dengan sendirinya.

Saya sarankan, andai ada dalam kalangan saudari mempunyai masalah sedang mengandungkan anak luar nikah, dan jika berniat untuk membuangnya, berilah kepada saya. Saya terima dengan seadanya. Selepas itu bertaubatlah, semoga dengan peluang bernafas yang lebih lama ini taubat anda akan diterima. Ingatlah, Allah s.w.t itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Segala coretan di atas bukan sekadar untuk anda, tetapi juga untuk saya yang sememangnya selalu tersasar. Pimpinlah saya sebagai sahabat anda. Walau tidak banyak, satu pun jadilah. : )

Sekian..




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...