Tuesday, July 20, 2010

Sekadar Menulis

Apapun salam saya ucapkan kepada kalian yang sudi membaca. Setiap kali membuka blog ini, saya rasa bersalah kerana tidak memberikan sesuatu yang bermakna untuk santapan jasmani dan rohani kalian. Diri saya sendiri pun masih beku dan terolang-aling ; rasanya tidak sesuai pula hendak siapkan juadah-juadah yang 'enak-enak'.

Namun, tidaklah salah andai saya mencuri ruang mengemudikan binaan saya ini dengan sedikit cerita atau diari hidup saya.

Bolehlah juga mengasah mata fikir yang sudah lama 'pejam' dan 'lalai' ini. Setiap hari saya pasti melakarkan sesuatu dalam Facebook. Sungguhpun ianya remeh temeh, atau mungkin sekadar bersuka-suka tetapi secara realitinya itulah sedikit sedutan dalam hari-hari yang saya lalui. Mana mungkin saya bisa menggemburkan semuanya, bosan pula orang lain nanti. =)

Alhamdulillah..
Impian untuk membeli kereta sendiri hampir tercapai. Sekalipun saya terpaksa bekerja kuat demi mencapai kehendak saya itu, saya rela. Ada juga aset saya. Jika tidak, pasti habis buat belanja tika berlibur.

Semasak-masak fikiran saya, kemungkinan kaki ini akan melangkah ke satu peringkat pembelajaran. Saya akan menyambung pengajian kerana saya tidak mahu masa terbuang begitu sahaja. Sampai bila saya hendak bekerja di kampung sedangkan minat saya ke arah lain. Ya, saya akui, berniaga memang mencabar. Saya akui juga bahawa saya amat meminati bidang ini. Namun begitu, biarlah saya mendapat pekerjaan yang lebih baik. Tahulah saya melorongkan minat saya ini.

Rutin seharian semakin tenat. Saya menghabiskan masa seolah-olah menganggap masa itu tidak bererti. Saya sedar semua itu tetapi saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk memaksa hati ini supaya menjadi seorang manusia yang berdisiplin. Sayang sekali, dek kerana keadaan harian yang tenat ini, saya menjadi manusia yang tertinggal segala-galanya. Saya hilang fokus. Hilang arah. Saya hanya tahu cemburukan teman-teman yang sedang sibuk dengan kerjaya masing-masing walhal saya sendiri tidak bertindak pantas untuk mendapatkannya.

Setiap hari saya sedar akan kesilapan saya. Namun, berat sungguh langkah saya hendak berubah. Kononnya, saya menanti seseorang untuk mengubah saya. Adakah orang seperti itu? Yang faham kemanjaan saya. Yang faham kebudak-budakan saya. Yang faham saya seadanya.

Baguslah.. Tika usai mencatat sesuatu untuk blog ini saya seakan menyuntik sedikit semangat ke dalam diri sendiri. Sebenarnya, menulis ini ibarat berbual dengan diri sendiri. Yang pasti, itulah saya. Penawar kala kesedihan hanya pada warkah bisu. Kerana saya amat mempercayai ketulusannya. =)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...