Thursday, September 16, 2010

Komen peribadi - Media Cetak

Biarpun waktu ini wujud pelbagai wadah yang menyajikan maklumat, media cetak masih lagi mendapat tempat di hati pembaca. Berita-berita sensasi bermula dengan kerancakan politik, gejala sosial yang semakin parah, dan sebagainya menjadikan suratkhabar laris sekali.

Fakta tidak benar

Maka bermulalah episod memutarkan fakta supaya menjadi lebih menyentap padahal ia sebenarnya bercanggah dengan etika kewartawanan. Pastinya semua ini didorong oleh faktor-faktor seperti malas dan bersikap sambil lewa mencari bahan sehingga mencedok isi di media elektronik dan kemudiannya menjadikan ia sebuah cerita yang 'panas'. Sikap tidak bertanggungjawab ini sebenarnya berupaya menconteng arang akan prestasi sesebuah syarikat akhbar. Selebihnya, benda yang benar dibuat menjadi tidak benar juga tidak kurang hebatnya bermaharajalela dalam beberapa artikel. Barangkali sekadar mengagak umur atau tidak mendapat maklumat yang lengkap. Malangnya, semua ini tentu sekali mengundang persepsi negatif dan tidak puas hati dalam kalangan manusia yang ada hubung kait dengan sesuatu artikel yang tersebut.


Tajuk yang sangat melampau - 'over'


Tidak salah mencari tajuk berita yang bombastik kerana mata pembaca akan tertancap pada tajuk akhbar dahulu sebelum menelaah keseluruhan isi, tetapi janganlah sampai tajuknya itu mengguris luka pada mangsa. Kadang-kadang ianya langsung tidak berperikemanusiaan. Apatah lagi, jika mangsa itu masih belum diyakini sebagai pelaku salah. Adilkah balasan yang diterima sekiranya dia sekadar suspek dan tiba-tiba kejadian itu hanya ibarat angin lalu padanya. Adilkah dia menanggung wajah yang sudah digelar yang bukan-bukan.

Meletakkan gelaran yang agak kejam untuk didengar mungkin salah satu cara psikologi yang 'mungkin' meninggalkan kesan tetapi biarlah sedikit halus.


Menulislah dengan pandangan hati yang tulus, ikhlas dan berpijaklah pada paksi kebenaran agar rungkaian menjadi lebih dipercayai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...