Monday, February 13, 2012

Saya Pelajar! =)

Dah selamat sampai ke Selangor beberapa hari lalu dan hari ini sudah selamat mendafar. Rabu nanti ada taklimat di FBMK. Perubahan cuaca menyebabkan saya jadi tidak sihat tiba-tiba.

Namun begitu, bolehlah kiranya hari ini saya mengiktirafkan diri kembali sebagai pelajar walaupun otak kian blurr =)

YA, SAYA SUDAH JADI PELAJAR.

Terima kasih emak, kawan-kawan dan semua yang banyak menyokong saya. Love u all la..

P/s : Nad.. tolong mis col nombor aku ok!! susah betul nk jmpa Ziana Zain nie.. :)

Monday, February 6, 2012

Hai laa Bomoh...

Lebih kurang lepas Isyak, Bonda ajak aku pergi jumpa bomoh. Katanya, sakit tangan. Mak aku dengan bomoh memang 'rapat' sebab pantang sakit bomohlah nombor 1. Doktor pun sudah jadi ala kadar.

Aku? Malas sebenarnya nak berbomoh-bomoh ni tapi orang berniaga adatlah kan, mesti jumpa bomoh punya sebab takut dikhianat ceritanya. Berbekalkan ayat Kursi, ayat besar inilah yang aku amalkan setiap hari. Itu lebih penting.

Dijampilah segala jampi, semoga dengan ikhtiar begini Bonda mampu sihat. Psikologi juga kadang-kadang tetapi ada juga yang diizinkan-Nya. Alhamdulillah, selagi tidak berniat untuk mengkhianati orang lain, dan selagi tidak menyimpang jauh, aku rasa tidak apa-apa.

Sekali Bonda aku bawa keluar cerita aku.
"Tolong tengok sat pasai apa tak dapat kerja lagi nie?"

Wah, dah jadi peramal masa depan tok bomoh tu! Mulalah tak suka. Nak tahu apa dia cakap selepas mengira nama aku? Sebelum itu dia ada tanya, berapa tahun belajar? Maksudnya, sambung master ini la kan.. hmm..

Lepas aku cakap dia kira lagi, lepas tu, "Pakcik cakap jangan marah la no.. Hang pi nie berdasarkan apa yang pakcik kira, setahun awai ja berjaya lepas tu hang gagal. Bab lelaki hang tolak tepi dulu no.. Hang kena sabar, tempuh jugak!!"

Adeh! Macam nak tersandar aku dengar perkataan GAGAL.

Terfikir juga pasal kawan-kawan yang berjuang teruk untuk viva dan tesis. Takkan aku nak gagal kot!! Fikir rasional, tak ada sesiapa pun tahu nasib kita di masa depan. Berjaya kita atau gagal kita Allah swt yang tentukan bukan tafsiran bomoh.

Memang terasa jugalah bahang ketakutan untuk gagal tetapi itukan lebih bagus daripada kita terlalu yakin dengan perjuangan kita. Takut untuk gagal akan membantu kita supaya lebih bersedia pada masa depan. Apapun, kawan-kawan, ibu bapa, jika aku sedang menuju ke arah kegagalan atas sebab-sebab tertentu, tolonglah bangunkan aku. Hati aku tidak kuat sebenarnya. Hanya coretan sahaja yang menggambarkan kekuatan tetapi dalaman tidak begitu.

Apapun, aku berdoa agar Dia sentiasa melapangkan dadaku dan memudahkan perjalananku.

Amin..

Sunday, February 5, 2012

Kurangkan FB!!




Betul kata Cik Nad.. Dia mahu berpuasa daripada melayari FB! Matlamat puasa FB Cik Nad dan aku mungkin berbeza tetapi caranya akan sama. Aku akan cuba mengenepikan FB buat sementara waktu.

Setelah berfikir panjang untuk berada jauh daripada seseorang, aku rasa langkah yang seterusnya adalah fokus dan tidak lagi menoleh ke belakang. Maksudnya, aku ingin mengubati hati dengan kesibukan dan dunia baru aku nanti.

Mudahkah bagi seseorang itu memujuk hatinya dengan memberi kata-kata nasihat dan motivasi setiap hari termasuklah mencari tips-tips untuk melupakan kenangan demi kenangan? Cubalah.. Atau anda sendiri akan lebih rasa stres daripada saya. Namun, tak semua yang kita lalui harus dilayan sehabis hati, sebaik-baiknya carilah langkah yang terbaik untuk meredhainya selain daripada terus memanjat doa kepada Yang Maha Esa.

Satu keluhan berat pasti akan terasa tetapi kalau kita amati betul-betul, kita takkan pernah terlepas daripada permainan perasaan melainkan kita tidak menempuhinya.

 ada video yang telah dipadam kerana CZ tak bertudung. Jaga aurat! =))


hahahaha... aku bukan najwa latif mahupun gadis tuturial selendang!! haahaha...
Tapi inilah percubaan pertama untuk gantikan heroin GK!!! kahkahakha...
tak faham??
no 1: akulah tuan blog
no 2 : tulah blackberry aku yg aku guna untuk col je.. so apa2 hal bb col aku =)
no 3 : gud!! kat sapa yg tengok nie.. thanks haha
no 4 : aku sewel sekejap .. kih3..
no 5 : bye2 dalam keadaan yg sangat pemalu wakakakaka...

Saturday, February 4, 2012

Blog dan Diari

Hari-hari melawat blog sendiri rasa macam nak tulis saja. Mungkin hendak mengasah otak barangkali. :)

12 Rabiul Awal.. hari keputeraan Nabi Muhammad saw.. seperti yang ditulis semalam.
Salam Maulidur Rasul semua. Jom berselawat ke atas nabi.

'Allahumma solia'la saiyidina Muhammad waa'la ali wasahbihi wabaarik wasallim'

Blog ini sebenarnya kadang-kadang berperanan sebagai diari kehidupan kita. Bezanya kita tidak perlu memperincikan setiap data. Akhir-akhir ini banyak luahan perasaan dicoretkan dalam blog yang bersifat terbuka ini. Tidak semua. Hanya sipi-sipi kehidupan yang mampu dikongsi secara umum.

Aku berniaga sehingga minggu depan hari Rabu. InsyaAllah..

Isnin : buat X-ray , servis kereta dan cari perfume
Selasa : kemas barang
Rabu : periksa keperluan yang lain-lain
Khamis : gerak ke rumah sepupu
Jumaat : gerak ke Serdang dengan bantuan kawan

Penting untuk hari Isnin - Khamis : Gemersik Kalbu!!! hahaha..

Friday, February 3, 2012

Feb 2012

Februari 2012 ~ Selepas cuba memujuk hati untuk berubah angin di tempat lama akhirnya bakal juga memberi kenyataan. Ya, aku datang Encik UPM. Walaupun desas-desus menunjukkan bahawa aku ingin dekat di samping Bonda tetapi apakan daya kita hanya merancang. Tak sanggup tunggu untuk semester depan, kerana umur semakin bertambah. Maka, perjalanan diteruskan dengan menerima saja tawaran awal. Memang takdir di situ agaknya =)

Adakah otak mampu berfungsi seperti yang sepatutnya? Belum teruji lagi untuk diberikan jawapan.

Apapun, kehidupan baru bakal bermula. Orang kata, kejayaan itu apabila ada karier dan rumahtangga. Ya kah? Aku masih belum berjaya lagilah. Sekurang-kurangnya apabila sudah ada karier ada juga sedikit kriteria kejayaan. =)

Secara keseluruhannya, aku masih belum buat ujian X-Ray atau pun menyiapkan barang-barang dengan penuh bersemangat. Kereta banyak masalah. Tayar tiga biji kena tukar. Kos? RM140 X 3 = RM420!! Servis kereta lagi. Duit rumah. Duit yuran.

Macam-macam perlu dibuat dalam masa terdekat ini. Berusaha tangga kejayaan. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian!
Ya memang parah duit sekarang. Makan ribu.

Kalau aku tidak kentalkan hati manakan mungkin aku keluar dari kampung yang tidak mungkin menjanjikan apa-apa untuk aku. Aku tidak mahu menyesal di kemudian hari. Apa yang aku lakukan selama ini adalah impian aku. Aku tolak tepi soal kahwin sebab impian.

Kadang-kadang macam kelakar, Bonda cakap, "Pi belajaq tak payah dok bercinta-cinta dah. Belajaq betui-betui.."

Umur anak sudah 27 tahun kot! =)

Bonda (Mak) diam. Lepas itu dia cakap, " Mak tak mau dah orang dok kecewakan anak mak!"

Fuh! Macam nak nangis pun ada. Begitulah kasih emak kepada anak sampaikan soal hati pun dia ambil peduli. =)

Buat masa sekarang, belum lagilah tapi tak berani janji depan-depan. =) Haha... Yang paling penting, mereka bahagia. Tiba-tiba rasa teringat kepada mereka-mereka tersebut. Wah, seronok pula sebab sekurang-kurangnya aku dah memberi laluan untuk mereka bahagia. Selebihnya pandai-pandailah nak hidup.

Tinggal yang seorang inilah yang selalu ada memberi bantuan baik sokongan moral dan kewangan. Tak pernah kedekut pun! Jangan risau, aku sentiasa ingat jasa baik orang dan sekalipun dia beranak pinak nanti, aku akan sentiasa ada untuk membantunya pula. Amin.. Mudah-mudahan.


AHAD -
Hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. bersamaan 12 Rabiul Awal.
Nabi Muhammad s.a.w lahir pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah SWT.

Wednesday, February 1, 2012

Kes Man dan Nina

Hidup ini kadang-kadang menyeronokkan untuk sesetengah orang tetapi bagi yang memikul bebannya pasti keperitan yang dirasa. Secara ekslusifnya, saya merasmikan GOSIP SETEMPAT ini dengan sebuah cerita yang mungkin pernah berlaku di sekitar anda.

Kebiasaannya kita tidak akan menamakan pelaku dengan nama sebenar apatah lagi lengkap dengan nombor MyKad! Jadi cukuplah sekadar anda faham bahawa pelaku itu bernama sekian-sekian yang membolehkan anda tahu bahawa dia itu lelaki atau perempuan. Nama yang dipilih adalah berpandukan 'suka hati' penulis semata-mata. Haha.. Tak lawak jangan gelak! =)

Ok.. Terus kepada cerita.

Kenakalan di usia remaja memerangkap mereka dalam sebuah perkahwinan. Si perempuan berkahwin ketika usianya belum cukup 16 tahun! Perkahwinan mereka yang berunsur 'menyelamatkan' antara satu sama lain berlangsung seperti yang sepatutnya.

Nakal si suami (Man) dan nakal si isteri (Nina) tidak ada banyak bezanya. Jika si suami gemarkan dadah dan kehidupan tidak sihat seperti itu, si isteri pula rela ditiduri lelaki lain. Cerita demi cerita didengar. Anak semakin bertambah. Si suami setiap tahun ada saja kes, malah penjara ibarat rumah kedua. Si isteri pula semakin ligat.

Semua ini berlarutan hingga kini. Sementelah Man telah dikurung di dalam penjara beberapa bulan, Nina bertindak mencari lelaki lain malah terfikir untuk berpisah dengan suaminya. Nina sendiri rasa tidak bahagia, kewangan yang tidak terurus, kasih sayang yang diharapkan tidak sampai malah kebahagiaan rumahtangga yang diidamkan juga tidak pernah terjadi dalam hidupnya. Bukan tidak pernah terjadi !

Ya, pernah. Waktu itu ketika Nina dan Man baru berkahwin dan cinta mereka masih berbunga-bunga. Apabila umur semakin meningkat dan Nina rasa tidak dihargai serta keperluannya tidak cukup, mulalah dia keluar daripada masalahnya dengan cara begitu. Man masih tidak mahu berusaha untuk memulihkan hubungan mereka sebaliknya ralit dengan dunianya sehinggalah fizikalnya makin susut dan otaknya seakan tidak berfungsi dengan aktif. Man tidak gila. Hanya otaknya saja yang lembab!

Sekarang ini Nina sedang bersekedudukan dengan teman lelakinya yang pada hematnya mereka akan berkahwin selepas dia bercerai dengan Man. Malangnya, Man seolah-olah mementingkan diri sendiri. Man tahu tiada sesiapa pun mahukan dirinya! Man tidak mahu menceraikan isterinya. Antara kasih atau kepentingan sendiri, Nina terpaksa akur dengan keputusan Man. Dia semakin bingung. Teman lelakinya mampu memberi bahagia. Sedangkan jalan kembalinya ini pasti mengundang derita apabila sekali lagi tubuh badannya akan menjadi bahan sepak terajang suaminya yang panas baran.

Man mengugut untuk melakukan sesuatu kepadanya. Mungkin dirinya atau teman lelakinya akan terkorban. Nina tidak mampu meloloskan diri daripada Man. Perbicaraan akan mengambil masa yang panjang. Dia akan terseksa terlebih dahulu sebelum kes permohonan cerainya selesai. Kali ini, Man merayu-rayu dan berjanji akan memberikan kemewahan kepadanya.

Nina buntu. Dia dan Man sama-sama bermasalah. Dia tidak boleh hidup puas jika hanya bersama dengan Man.

Mungkin Nina dan Man akan bersama kembali. Tetapi di manakah berakhirnya permasalahan mereka??

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...