Friday, January 31, 2014

Hati

Baru-baru nie ada satu mimpi. Tak ingat dah mimpi apa, tapi lepas bangun, cari dalam internet maksud mimpi tu. Tafsirannya, akan ada orang tikam belakang! Oh.. Masa tu terfikir, ada ke?

Berprasangka baik kan lebih bagus. Jadi sampai ke hari ni tetap berprasangka baik lagilah. Memang ada dua perkara yang mengacau minda tetapi sengaja dibiarkan bagai angin lalu. Hampir nak meletup ada la jugak. Tapi saya takkan serang benda yang buktinya masih belum kuat. Saya simpan dalam kocek peribadi sehinggalah suatu masa nanti. Ya, mungkin ada. Mungkin tiada. Saya cuma yakin Allah swt tu Maha Adil dan setiap perkara yang dilakukan itu pasti akan ada balasannya. Mungkin ini balasan untuk saya.

Hal inilah yang mempelbagaikan ragam manusia dalam kamus hidup saya. Orang lain entah lagi teruk agaknya. Berfikiran positif itu lebih baik.

Orang tak akan peduli kalau kita tiada beras untuk dimakan, 
tapi orang akan peduli kalau kehidupan kita semakin hari semakin senang.

Itu lumrah semenjak dari dulu lagi. Bertitik tolak daripada pengalaman dan pengajaran pada masa sekarang, sekurang-kurangnya kita akan lebih berhati-hati dan memberikan yang terbaik dalam kehidupan pada masa akan datang.

Masalahnya, saya selalu yakin dengan hati. Malang sekali, orang lain tidak akan nampak hati di dalam tetapi akan nampak luaran kita. Susahlah. Sebab saya bukan orang yang reti menunjukkan wajah-wajah plastik. Hahaha.. Mungkin juga sebab muka nie seolah-olah nampak macam 'kerek' sikit. Tapi itulah saya. Saya tidak berselindung di sebalik keperibadian orang lain. 

Cuma tekad saya tahun nie, ada tersemat dalam hati. Langkah demi langkah harus dilakukan. Hal orang lain dengan hati mereka, saya cuma boleh doakan semoga mendapat petunjuk dan hidayah serta dibersihkan hati. Malah saya sendiri memohon agar hati saya dibersihkan juga. Sebelum menuding jari ke arah orang lain, saya pasti menilik salah sendiri dan saya menjumpainya cuma hati saya itu masih terpelihara.

Janganlah kita menghukum seseorang itu kerana merasakan diri kita terlalu sempurna. Untuk hari esok, kita belum pasti apakah dugaan yang bakal muncul dalam hidup kita. Apakah masa itu kita kuat untuk mendepaninya atau tidak. 

Alhamdulillah.. Sedikit tenang untuk masa sekarang kerana saya tahu Allah swt sebaik-baik tempat untuk kita mengadu dan akan sentiasa bersama dengan kita walau dalam keadaan yang bagaimana sekalipun.

HATI!

Saturday, January 25, 2014

Anak-anak Sekarang Terlebih Manja

Sedih tengok anak-anak yang semakin dimanjakan dan terlalu manja. Kes murid dikenakan tindakan 'melampau' oleh guru-guru sudah menjadi satu isu besar. Bukan nak sebelahkan sesiapa, tapi kalau dibandingkan dengan zaman dulu, rasanya guru-guru dahulu lebih 'kejam' tapi syukur Alhamdulillah, berjaya melahirkan insan yang berguna pada masa sekarang.

Sekarang ni, apa-apa sikit mesti cepat melatah. Sama tingkahnya dengan isu politik. Pantang sikit, mesti melatah!

Rasa meremang nak menaip. Bukan takutkan hantu, tapi tersayat hati ni apabila memikirkan manusia-manusia pada zaman sekarang. Tugas pendidik tu bukannya mudah. Kita sebagai ibu bapa hanya membekalkan wang ringgit dan membayar yuran anak-anak tetapi yang mahu memberikan ilmu di sekolah itu terpaksa mempelbagaikan kaedah mengajar agar anak-anak bangsa itu mampu menerima setiap inci ilmu yang diberikan. 

Dulu, saya pun bukannya tak pernah didenda guru. Selalu. Kebiasaannya, waktu ayah ada dulu, pasti ayah akan membela sekiranya ada sesiapa yang 'menyentuh' anak-anaknya. Abang-abang, rakan taulan pasti akan disuruh memantau. Sampaikan saya naik 'besar kepala'. 

Waktu ayah dah tak ada bersama kami, saya cuba untuk mengadu kepada emak. Saya beritahu, cikgu denda saya berdiri dan rotan! Itu masa sekolah rendahlah. Saya yang salah sebenarnya. Cikgu mengajar, saya main di belakang. Cikgu tanya saya melawan. Akhir sekali kenalah denda =) Kelakar ingat balik sebab selalunya kawan-kawan akan menunggu saya untuk mengadu. Dan saya akan mengadu kepada ayah kalau ada apa-apa. 

Mak marah saya balik! Dia suruh saya minta maaf. Saya degil tapi dalam hati termakan nasihat emak. Ya, saya salah masa tu. Tak patut saya tengking cikgu dan melawan dia. Bermula dari situ, saya mula rapat dengan guru tersebut dan setelah sekian lama, barulah saya minta maaf. 

Lepas kejadian tu, bukanlah bermaksud saya jadi baik. Nakal jugak! Tapi tak pernah pula balik dan mengadu kat emak. Kat ayah pun tak mengadu dah. Cuma bila dah besar, apa-apa pun boleh fikir sendiri dan guru-guru yang 'bergaduh' dengan saya tu dah ambil saya sebagai 'anak angkat' pun. Malah guru Cina sekalipun. Mungkin itu kaedah yang sesuai untuk orang yang macam saya. 

Atas dasar itulah, sehingga sekarang sekiranya saya perasan akan sikap pelajar-pelajar saya begitu, maka saya tahu pendekatan yang bagaimana untuk saya guna. 

Berbalik kepada hal anak-anak yang terlebih manja tersebut, rasanya boleh dibawa berbincang secara aman bersama dengan guru tersebut. Jangan sesekali membiarkan anak-anak tahu tindakan kita membela mereka kerana hal itu akan membuatkan anak-anak akan merasakan setiap perkara yang mereka lakukan pasti akan terbela walaupun SALAH. 


Apa-apa je lah! 

Thursday, January 16, 2014

Puding Karamel

Apa yang hendak dibebelkan hari ni? Yeay!! Puding karamel saya. Hehe.. Hari ini merupakan kali pertama saya buat puding tu sebab selama ni saya hanya boleh masak masakan kedai. Benda-benda yang remeh macam tu jarang ambil peduli sangat.

Cerita tentang kehidupan sekarang, saya suka tengok pelbagai ilmu dan doa yang dikongsikan di FB. Alhamdulillah, percaturan hidup yang seimbang walaupun kadangkala memberat ke arah yang negatif. Kita kutip yang positif!

Ada perkara nak dikongsi tapi dah hilang sebab puding karamel sedia untuk dinikmati! nyum3!!! =D
Nantilah update dgn gambar sekali. Yang penting, rasanya menepati!! Tidak manis macam dijual.. hihi.. Maniskan senyuman ok

Saturday, January 11, 2014

Azam Pertama Tahun 2014

Hari nie dah masuk hari Ahad - jam 1.00 pagi macam tu..

Hari nie juga merupakan entri pertama untuk tahun 2014..

Selamat masuk ke tahun baru 2014.. Telah berlaku peningkatan usia iaitu menginjak ke umur 29 tahun.


Belakangan ni saya agak sibuk dengan kerja baru. Alhamdulillah dah rezeki. Kontrak pun dah nak habis bulan 2 nanti. Dapat pulak kerja lain. Rezeki Allah swt bersambung-sambung. Syukur sangat-sangat.

Perniagaan NUF pun semakin hari semakin maju dan mendapat tempat di harti pengguna. Tak perlu bersusah-susah seperti dulu dah. Pengguna akan cari NUF SKIN LIFE dan repeat order! Syukur lagi.. Syukur ke hadrat Ilahi kerana membantu usaha kami.

Tesis pun dah nampak jalan dan beberapa bab awal sudah pun disiapkan. Alhamdulillah. Kesibukan itu mengajar saya untuk lebih mengasak otak dan kudrat supaya bekerja keras. Pedulikan apa orang lain fikir dan kata kerana mereka akan menghabiskan masa untuk berfikir tentang kita sedangkan kita harus mengorak langkah.

Yang paling penting, pelihara hati kita supaya tidak menjadi hitam! Positifkan fikiran.

Tahun ni apabila berbicara tentang azam, banyak juga azamnya. Tapi bagi saya, azam bukan ikut tahun tapi harus diperbaharu pada setiap hari. Cuma azam tahun itu merupakan azam yang mewakili tahun tersebut. Kata saya, azam tahun baru itu sebagai garis panduan dan semangat untuk tahun tersebut.

Salah satu dapat saya keluarkan di sini yang harus dibuktikan ialah menulis kembali. Saya rindukan alam tu! Mungkin kekuatannya tahun ini. InsyaAllah dan sekalung tahniah untuk sahabat seperjuangan di alam universiti dulu, Helmi kerana berjaya menerbitkan sebuah buku lagi yang sarat dengan hasil karya sendiri. Sebagai teman, saya berbangga dan akan terus memberi sokongan kerana beliau juga tidak putus-putus memberi sokongan kepada saya. Begitu juga dengan salah seorang pensyarah saya, Dr Kay yang baru-baru ini dapat juga kami bersua, dan beliau juga tidak pernah padam dengan semangatnya serta sentiasa memberi galakan kepada saya.

Terharu!

Malahan, guru sekolah saya yang turut menempa nama dalam dunia penulisan acapkali melahirkan soalan yang sama. Bila dan bila? Tahun ini! InsyaAllah..

Terima kasih semua :D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...