Saturday, January 25, 2014

Anak-anak Sekarang Terlebih Manja

Sedih tengok anak-anak yang semakin dimanjakan dan terlalu manja. Kes murid dikenakan tindakan 'melampau' oleh guru-guru sudah menjadi satu isu besar. Bukan nak sebelahkan sesiapa, tapi kalau dibandingkan dengan zaman dulu, rasanya guru-guru dahulu lebih 'kejam' tapi syukur Alhamdulillah, berjaya melahirkan insan yang berguna pada masa sekarang.

Sekarang ni, apa-apa sikit mesti cepat melatah. Sama tingkahnya dengan isu politik. Pantang sikit, mesti melatah!

Rasa meremang nak menaip. Bukan takutkan hantu, tapi tersayat hati ni apabila memikirkan manusia-manusia pada zaman sekarang. Tugas pendidik tu bukannya mudah. Kita sebagai ibu bapa hanya membekalkan wang ringgit dan membayar yuran anak-anak tetapi yang mahu memberikan ilmu di sekolah itu terpaksa mempelbagaikan kaedah mengajar agar anak-anak bangsa itu mampu menerima setiap inci ilmu yang diberikan. 

Dulu, saya pun bukannya tak pernah didenda guru. Selalu. Kebiasaannya, waktu ayah ada dulu, pasti ayah akan membela sekiranya ada sesiapa yang 'menyentuh' anak-anaknya. Abang-abang, rakan taulan pasti akan disuruh memantau. Sampaikan saya naik 'besar kepala'. 

Waktu ayah dah tak ada bersama kami, saya cuba untuk mengadu kepada emak. Saya beritahu, cikgu denda saya berdiri dan rotan! Itu masa sekolah rendahlah. Saya yang salah sebenarnya. Cikgu mengajar, saya main di belakang. Cikgu tanya saya melawan. Akhir sekali kenalah denda =) Kelakar ingat balik sebab selalunya kawan-kawan akan menunggu saya untuk mengadu. Dan saya akan mengadu kepada ayah kalau ada apa-apa. 

Mak marah saya balik! Dia suruh saya minta maaf. Saya degil tapi dalam hati termakan nasihat emak. Ya, saya salah masa tu. Tak patut saya tengking cikgu dan melawan dia. Bermula dari situ, saya mula rapat dengan guru tersebut dan setelah sekian lama, barulah saya minta maaf. 

Lepas kejadian tu, bukanlah bermaksud saya jadi baik. Nakal jugak! Tapi tak pernah pula balik dan mengadu kat emak. Kat ayah pun tak mengadu dah. Cuma bila dah besar, apa-apa pun boleh fikir sendiri dan guru-guru yang 'bergaduh' dengan saya tu dah ambil saya sebagai 'anak angkat' pun. Malah guru Cina sekalipun. Mungkin itu kaedah yang sesuai untuk orang yang macam saya. 

Atas dasar itulah, sehingga sekarang sekiranya saya perasan akan sikap pelajar-pelajar saya begitu, maka saya tahu pendekatan yang bagaimana untuk saya guna. 

Berbalik kepada hal anak-anak yang terlebih manja tersebut, rasanya boleh dibawa berbincang secara aman bersama dengan guru tersebut. Jangan sesekali membiarkan anak-anak tahu tindakan kita membela mereka kerana hal itu akan membuatkan anak-anak akan merasakan setiap perkara yang mereka lakukan pasti akan terbela walaupun SALAH. 


Apa-apa je lah! 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...