Friday, February 28, 2014

Janji Melayu!

Apa yang orang cuba jelaskan dengan mengaitkan yang buruk-buruk itu sebagai 'janji Melayu'? Padahal yang bercakap itu orang Melayu!!

Apa nak jadi dengan bangsa kita, alih-alih mengutuk bangsa sendiri yang seolah-olah ludah ke langit, jatuh ke muka sendiri. Selalu sangat dengar orang menyebut 'janji Melayu', sampaikan kadang-kadang menyirap darah dibuatnya.

Melayu itu ada dalam darah kita. Walaupun yang membuat kesalahan itu kita, tak usahlah nak mengaitkannya dengan Melayu. Melayu dulu agung! Orang-orang terhormat, cuma sekarang ini mereka alpa.

Selalunya, orang akan mengaitkan 'janji Melayu' dengan sikap tidak menepati masa. Saya sendiri pun, agak bermasalah dalam hal ini. Bangun awal pun lambat, bangun lewat pun lambat. Tapi dalam masa yang sama, selepas merasakan bahawa itu bukan sikap yang baik, maka ada inisiatif dalam diri untuk berubah. Cuma tak wujudlah setiap masa akan berjaya, ada waktu kecundang. Tapi sekarang ni Alhamdulillah.. sikit-sikit lama eloklah.

Tak pernah pulak saya salahkan Melayu! Tak pernah sebab saya akan tetap dengan pendirian saya bahawa orang Melayu itu hebat-hebat. Salahkan saya, salahkan individu yang melakukan hal tersebut. Contohnya, janji Mamat.. Janji Minah..

Faktor yang menyumbang 'janji Melayu' sebagai suatu yang negatif ini adalah seperti sikap kebanyakan orang Melayu yang tidak memberikan komitmen yang padu. Tapi hal ini boleh berubah sekiranya, kita tukar 'janji Melayu' itu sebagai satu pujian kepada orang yang menepati masa mereka dengan baik.

Nak tahu kenapa? Setiap kata-kata itu adalah satu doa. Jadi berdoalah supaya orang dan bangsa Melayu itu menjadi orang yang berdisiplin. Janganlah kita lupa daratan sampai tak tahu membezakan kita ini bangsa asing atau bangsa Melayu.

Bukan apa, tadi tengok kat Facebook. Janji nak post gambar makanan semalam, tapi post hari ini. Lepas tu, tulis 'biasalah, janji Melayu'! Apa motif cakap macam tu, kan? Tak kisah nak kutuk diri sendiri tapi jangan kutuk Melayu sebab banyak lagi Melayu di luar sana yang lebih baik. Kenapa tak puji? Kenapa kaitkan Melayu dengan benda-benda yang negatif?

Ada otak, pakailah! Rugi kalau letak kat lutut.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...