Monday, June 30, 2014

Kakak oh Kakak

Dari tadi asyik tengok orang 'sedang membaca' blog saya. Thanks..

Memang tulis untuk dibaca pun tapi tak ada la berinformasi sangat pun. Sekadar borak-borak kosong. Oh, mungkin borak kosong tu dah cukup berinformasi bagi sesetengah orang. Saya takkan menulis tanpa tujuan. Setiap perkara yang saya buat ada motifnya tersendiri. =)

Ceritanya sekarang tengah kumpul kekuatan nak turun beli kurma kat Cold Storage. Mata pun macam nyaman-nyaman nak bantal. Mengantuk punya pasal tak sedar tertidur dekat surau dgn gaya duduk sejam lebih! Mulut cover dengan kain sebab masa tu dah memang ngantuk tahap drakula pun.

Tak sabar hujung minggu ni nak balik kampung. Nak makan masakan MAK. Nak bau suasana kampung. Nak bersahur cara kampung. Wah bestnya..! Tadi terasa nak mengular.. Tanya student kalau-kalau nak bercuti Isnin ni sebab kelas diorang dah jadi terlebih 1 minggu. Hukk3.. Selalunya semua akan best sorak horey horey.. Kali ni tak.. "Kami suka tengok kamu!"

Ah.. Terasa kembang sikit hidungku! Tapi kejap je sebab tengah pikir nak ayat diorang supaya bersetuju. Hahaha.. Cikgu rindu mak la...

Tengah jalan-jalan nak masuk kelas, sekilas lalu nampak la student2 kelas lain dan ex-student sem lepas. Sekali dia jerit, "Kak, tak nak derma darah ke?"

Tergamam aku! Tolonglah jangan puji aku depan orang. Hahaha.. Aku pun sempat lagi kontrol konon-konon tak kisah pun panggil kakak. "Puasa." Senyum je sepanjang  jalan. Indahnya Ramadhan =)


Jom! Jom! Nak p cari si mata cantik sambil berbisik "Yusufffffffff Taiyob.."

Monday, June 23, 2014

Maaflah Hati-Hati Yang Terluka

Keputusan saya untuk menamatkan zaman single nie ternyata banyak melukakan hati orang lain. Bukan nak cakap saya ni retiss haha.. Cuma saya tahu apabila ramai yang mula terasa hati dengan tindakan saya.
Yang paling penting, sepanjang saya berkawan mesra dengan orang, rasanya tidak pernah saya memberi apa-apa harapan untuk bersama dengan sesiapa.

Setiap doa saya hanyalah mahukan petunjuk sebab saya tidak tahu untuk membuat keputusan! Orang lain mungkin tak faham, tapi saya boleh katakan bahawa saya tidak berani untuk mengatakan 'yes' atau 'ya' dalam bab-bab macam ni. 

Saya tidak mampu untuk memenuhi hasrat semua orang. Saya hanya mengikut qada' dan qadar Allah swt. Siapapun menjadi suami saya, itulah yang terbaik untuk saya. Saya dah hilang arah nak bercinta macam dulu-dulu sebab impian saya pernah hancur. 

Bercinta bagai nak rak dan akhirnya macam ni la. Hehe.. Tak menyesal tapi semua ni meninggalkan kesan dalam hidup saya. Alhamdulillah, sekarang dah dapat jawapan untuk pencarian saya selama ni. Saya bersyukur kerana Allah swt telah menyelamatkan saya. Itu sahaja. 

Kepada hati-hati yang terluka, saya hanya mampu katakan saya tidak pernah berjanji apa-apa dengan anda. Saya tidak memilih anda bukan kerana anda tidak layak tetapi Allah swt telah memilih seorang lelaki yang layak untuk saya. Apapun saya mendoakan yang terbaik untuk anda semua. Wah, macam banyak je! =) 

Malah kalau untuk hati-hati yang terluka di sebelah pihak bakal suami, saya juga mohon maaf. Siapalah kami untuk menolak ketentuan Allah swt. 


Doakan kami meniti kehidupan berumahtangga dengan matang. Semoga saya lebih bersabar juga. Hahaha.. Maklumlah, anak ayah. Kalau anak mak tu sabar sikit. Anak mak tapi mewarisi perangai ayah. Apa-apa aje la. Janji nama ayah saya Zain! Hehe.. Terpegun aku tengok si Zin dengan Indah. Macam sesuai je si Zin tu dengan aku. Kahkahkah... K bye


Sunday, June 22, 2014

Borak Kosong Kak Cik

Tadi sambil dok berkongsi-kongsi idea dengan my cousin, terselitlah satu statement yg tak terduga. Hehe..

"Kak cik kagum dengan keberanian dik Zura."

Hahaha.. Kazen aku ni sebaya je dengan aku. Tak sangka pulak. Entah apa yang beraninya pun tak tau. Aku berani ke? Hehehe.. Yelah, aku hidup dengan mak. Aku sorang-sorang perempuan. Mahu tak mahu kena la jadi berani jugak. Tapi dari kecik dulu pun memang aku macam ketua samseng hahaha.. Teringat member baik masa kecik dulu. Ony dan Dik E.. Depa nak gaduh depa cari aku. Aku pun masa tu darjah 6. Keluarlah dengan rambut pendek, seluar pendek dan takde baju. Cekak pinggang hokey!

Hahaha.. Pernah main gusti berempuk atas lalang, semak samun jiran dan aku menang. Lawan 2 lelaki aku menang! Hehe masa tu perut boroi. Badan tough macam sekarang la. Sekarang ni jumpa budak 2 orang tu, dok pemain kes gusti, sekali depa ajak gusti lagi. Memang takkkkkk la! Hahaha.. Ha la ampa kuat la.. =) Habis nikah dah..

Cerita pasal handphone. Handphone kak cik lambat nak respon. Aku kata tukar la..

"Nononono"

Aik? Ada sentimental value ka? hehhe.. Rupa-rupanya dia pun stail aku. Selagi boleh pakai, pakai je. Kerja gomen ok. Takkan dia tak mampu kot. Dulu result UPSR sama. Masuk sekolah asing dan dia memang pandai. Muka agak sepaten la hehehe.. Tak dapat lari. Bukan setakat dia, cousin2 yg lain kalau berkumpul emak-emak pun boleh konpius.

Keluarlah kau Oppo ke Note 10 ke apa ke, selagi yang ada nie berfungsi elok boleh tekan call mesej kira oklah. Tak daya la nak mengejar. Ukur handphone di telinga sendiri. Telinga aku kecik so kecik sudahlah. Dulu pun handphone ni rm800. Sekarang pi jual bolehlah rm100+ . Mana lagi rm700?? Rugi-rugi... (Hp nie pun orang bagi..hehehe) Kedekut kan aku?

Kenduri nanti ramai yang berkumpul. Wah, bestnya.. Jenuhla raya ni memasak. Mood raya tu terbahagi dua sebab mood kahwin yang take over.


Ok. Esok kerja. =) Selamat bekerja.

Saturday, June 21, 2014

Kalau Dah Jodoh

Tarikh yang sudah dipersetujui. Hehe...

Alhamdulillah.. Manusia hanya mampu merancang. Kami rancang nak langsungkan awal iaitu sebelum Ramadhan tapi urusan masih belum selesai jadi terpaksa dibawa ke satu tarikh lain. Tarikhnya? Biarlah rahsia. Hehe..

Apapun bersyukur sebab akhirnya dah dapat tahu siapa yang mengisi kekosongan gelaran suami selama ni. Tak sangka dan tak pernah terfikir pun. Antara kami tak pernah pun berbincang hal ni. Inilah yang dinamakan jodoh. Bercinta 10 tahun pun belum tentu ada jodoh.

Siapa pun dia, seperti yang aku pernah ucap dulu - aku terima dia seadanya. =)

Pernah tengok bakal pengantin buat pelamin sendiri? Ha.. Nanti tengoklah! Sep bajet aku.. Hehe.. Untung la dapat Pak Andam ni. Make sure pak andam keras ok.. Bukan auw..auw.. =)

Kenduri belah perempuan asalnya nak buat kecik-kecik je tapi disebabkan bergabung rasanya my mom uruskan dengan cara dia la. Kenduri cukur rambut pun dah macam kenduri kahwin inikan kenduri kahwin. Aku mood sempoi-sempoi je sebab dulu dah pernah kenduri besar.

Bukan apa, kenduri tu setakat nak bgtau orang kampung, yeay dah kahwin! Selebihnya kalau melampau sangat pun membazir dan tak disukai Allah swt. Cukuplah sekadar yang mampu.

Ok bye

Thursday, June 19, 2014

Komplen!!

Assalamualaikum

Selamat hari Jumaat !

Ok. Hari ni tak ada kelas jadi boleh layan benda alah ni dengan sewenang-wenangnya. Macam percuma (free) hehehe.. Macam lapang padahal banyak nak kena buat. Berpusu-pusu pelajar hantar tugasan. Alahai, bertambahlah kerja lagi. Tapi seronok juga tengok usaha-usaha mereka yang jarang berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Mana tidaknya, ada pelajar komplen!!!  Saja bagi tanda seru hihi.. Mereka pelik kenapa subjek ni diajar ketika mereka dah tahun dua? Bahasa Melayu sudah lama tidak digunakan. Katanya lagi, sebelum ni bercakap bahasa Melayu tetapi semenjak belajar di IPTS, secara automatik mereka berkomunikasi bahasa Inggeris dan meninggalkan bahasa Melayu. Masalah ini datangnya daripada penuturkah? Sinis ditujukan, semua ini peranan siapa? Siapa yang patut dipersalahkan kalau anak-anak bukan Melayu menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

Dapat kompen lagi!! Cikgu-cikgu yang mengajar subjek bahasa Inggeris komplen bahawa bahasa Inggeris mereka tidak bagus. Tahu cakap saja sampai kadang-kadang tak faham apa yang mereka tuturkan. Bahasa Melayu teruk dan bahasa Inggeris pun teruk!! Uh.. Apa benda ni?

Fahaman dasar yang mana diikut oleh mereka? Kesian, pelajar-pelajar juga yang menjadi mangsa. Kajian yang dilakukan tu betul-betul ada kesahan atau sekadar memenuhi tuntutan kerja semata-mata. Hasil kajian palsu dan kesannya?

Wujudkanlah lebih ramai pengkaji yang lebih ikhlas dan telus dalam setiap pekerjaan mereka demi masa depan anak-anak bangsa. Mereka bukan anak Cina, bukan anak India tetapi mereka anak Malaysia! Kita anak Malaysia. Tiada apa yang lain melainkan keunikan bahasa ibunda, agama, dan budaya masing-masing.

Ok cukup!

Ni pasal blog. Citra Zura boleh dikatakan aktif menulis. Dia nak siapa baca? Hehe.. Ada orang baca tapi mampu ke saya dapat pengikut tegar yang banyak? Perlu ke?

Jawapannya di sini, saya menulis untuk hilangkan stres. Anda baca atau tidak saya tidak ambil peduli sangat. Kalau baca Alhamdulillah. Selebihnya saya menulis sebagai penawar dan medium untuk saya luahkan perasaan. Hehe..

Bab perasan atau syok sendiri itu bukan pokok persoalan. Saya tak hairan pun =)

Wednesday, June 18, 2014

Kemalangan Kecil

Teringat ke blog pulak.. =) 

Semalam saya terlibat dalam kemalangan kecil. Kaki kanan terseliuh sebab terlanggar kereta. Sakit Tuhan saja yang tahu. Tapi anak jantan mak, cuba berlagak jadi hero walaupun dah merambu air mata. Dudu dah risau dah siap ajak pergi hospital. Memang masa tu nak ke klinik pun. Nak menguruskan 'hal-hal penting'. Hihi.. Tapi disebabkan tuntutan kerja, gagahkan jugak sampai ke tempat kerja. Hari ni pun jalan macam OKU. Kejap lagi pergi jumpa doktor. Tengok apa yang masalah.

Nak buat macam mana benda nak jadi. Lagipun darah manis memang la banyak dugaan. Kena sabarlah. Manis la sangat! Haha.. 

Malam-malam pukul 7 layan cerita Kerana Terpaksa Aku Relakan, pukul 10 layan Masihkah Ada Cinta. Nangis sampai bengkak mata-mata. Nak buat macam mana dah sedih kan. Hihi..

Sekarang ni mood sensitif. Dudu la kata. Hehe.. Sikit-sikit mesti naik angin. Sabar je la. Yang paling best bila pergi kerja, macam ada Daddy bg duit dekat anak. Hihi.. Maklumlah bulan ni makan 'angin' je sebab bayar yuran. So lega la ada orang tolong jaga kebajikan macam tu. Demam sikit-sikit boleh buat teruk-teruk =) Eleh macamlah tak pernah buat kan?

Bab yuran tu dah setel. Bab surat tu yang masalah. Sakit hati mengadap pengurusan UPM ni. Nak berleter bagai. Aku dah bayar semua sekali. Bukan dia nak boleh faham masalah kita. Belajar pakai duit sendiri ok???!! Bukan ada mak bapak kaya nak tolong itu ini. Tumpang dok berbudi bahasa lagi takpalah.. Hilang waras aku tak peduli dah kot pasal master tu. Banyak lagi universiti lain. Nak duit aku bagi duit. Nak apa lagi pun tak tau. Nak uruskan sendiri dah kekangan masa. Entahlah macam down ja sekarang nie tapi masih boleh control. 

Tak sabar nak habiskan.. Nak balik dok kampung. :( 

Tuesday, June 10, 2014

Bahasa Melayu dan Aktiviti Pembelajaran untuk Pelajar Bukan Melayu

Bahasa Melayu itu seringkali dianggap satu bahasa yang membosankan dengan corak pengajaran yang tradisional. Namun tidak menjadi masalah untuk saya atau pun rakan-rakan seperjuangan yang lain. Mungkin juga tidak menjadi satu permasalahan besar untuk kaum Melayu tetapi segelintir berpendapat bahasa Melayu itu sesuatu yang rigid.


Permasalahannya di sini, corak pembelajaran untuk anak-anak bangsa yang bukan Melayu terutama di kolej swasta perlu diubah. Saya telah cuba untuk menerapkan pembelajaran sama seperti saya belajar dahulu tetapi ilmu itu tidak sampai sepenuhnya. Saya hanya 'syok sendiri' padahal tugas saya adalah untuk mengubah tanggapan mereka tentang bahasa Melayu dan membantu mereka menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

Pengalaman lalu telah mengubah saya untuk berfikir dengan lebih kreatif. Saya harus keluar dari kepompong lama. Mungkin tidak sesuai untuk menarik perhatian mereka yang tidak gemar bahasa Melayu. Ya, mungkin!

Saya sentiasa memikirkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam kumpulan agar mereka berasa seronok dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu itu meliputi semua perkara dalam kehidupan. Bahasa Melayu bukan setakat pada buku kuliah semata-mata.


Ok. Yang terbaru, saya beri mereka lihat video yang ada mempunyai lagu dan isinya berkaitan dengan kesalahan-kesalahan lazim tatabahasa. Hampir 80% faham. Minggu seterusnya, saya bekalkan slaid yang dipenuhi dengan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat pada papan tanda dan mereka mampu membetulkannya dengan baik. Malah, ada yang gelak-gelak selepas melihat ejaan yang salah. Itu dah cukup untuk menunjukkan mereka faham. Untuk pengetahuan pembaca, mereka ialah pelajar-pelajar yang tidak kredit bahasa Melayu atau mungkin gagal dalam peperiksaan.

Selepas itu, saya memberi tugasan yang berbentuk aktiviti iaitu mengarah mereka mencipta produk atau barangan (kraftangan barangkali) untuk dibawa ke kelas. Produk yang dihasilkan ini akan dijual di dalam kelas dan jika boleh dijual di luar pun tidak ada masalah bagi saya. Yang penting, aktiviti di dalam kelas itu boleh berjalan dengan lancar.

Saya mengajar kelas bisnes ke? Tidak. Sambil menyelam minum air. Saya cuba untuk mengajar mereka buat bisnes, mempromosi barangan dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul - menggunakan slogan yang menarik dan yang lebih penting saya cuba menerapkan elemen retorik dalam setiap persembahan produk mereka.

Jadi, pada fikiran saya mereka akan lebih berusaha untuk menarik perhatian pelanggan dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan pemilihan kata yang bagus.


Setakat itu yang boleh dikongsikan. Lain kali cerita lagi *lagu Sudirman. hehe..


Tuesday, June 3, 2014

Trend FB

Cuba tengok persekitaran FB.. Alam FB.. Penyakit yang menular ialah perkataan-perkataan yang menjadi trademark kononnya hehe.. Tak ada la nak mengutuk tapi sedikit sebanyak ada jugak terkesan. Hahaha... Jom tengok!


1) Untunglaaaa....
Kalau difikirkan logik, untungla itu bermaksud tidak rugi. Jadi apa-apa yang mendatangkan kebaikan selalunya akan disebut, "untungla"

Contoh ayat : Untunglaa ada orang jaga. =) 

2) Puiiii!!
Hahaha apa benda ni? Nie la ayat 'meludah' berbunyi. Kononnya bergurau, kononnya marah, entah apa lagi sebab musabab "puiiii" nie pun tak tahu.. Lepas tu ramai la yang "puiiiiiii" kat FB sampai jadi satu ikutan termasuklah "puiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii" panjang dan "puiiii" pendek! 

Contoh ayat : Harap muka je hensem, duit takde! Puiiiiiiiii!!!

3) Selfie
Istilah nie sampai masuk TV.. Jenuh la pakat dok selfie padahal dari dulu lagi amek gambar sendiri. Takde pulak nak tulis selfie semua tu.. Aku yang dengar dah naik menyampah. Meniru je lebih.. Heheh.. fenomena!!

Selfie 

Contoh ayat : See. Selfie... hahaha




Ok.. Yang lain-lain nanti kita cari lagi. Buat kerja dulu =) Bye

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...