Tuesday, June 10, 2014

Bahasa Melayu dan Aktiviti Pembelajaran untuk Pelajar Bukan Melayu

Bahasa Melayu itu seringkali dianggap satu bahasa yang membosankan dengan corak pengajaran yang tradisional. Namun tidak menjadi masalah untuk saya atau pun rakan-rakan seperjuangan yang lain. Mungkin juga tidak menjadi satu permasalahan besar untuk kaum Melayu tetapi segelintir berpendapat bahasa Melayu itu sesuatu yang rigid.


Permasalahannya di sini, corak pembelajaran untuk anak-anak bangsa yang bukan Melayu terutama di kolej swasta perlu diubah. Saya telah cuba untuk menerapkan pembelajaran sama seperti saya belajar dahulu tetapi ilmu itu tidak sampai sepenuhnya. Saya hanya 'syok sendiri' padahal tugas saya adalah untuk mengubah tanggapan mereka tentang bahasa Melayu dan membantu mereka menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

Pengalaman lalu telah mengubah saya untuk berfikir dengan lebih kreatif. Saya harus keluar dari kepompong lama. Mungkin tidak sesuai untuk menarik perhatian mereka yang tidak gemar bahasa Melayu. Ya, mungkin!

Saya sentiasa memikirkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam kumpulan agar mereka berasa seronok dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu itu meliputi semua perkara dalam kehidupan. Bahasa Melayu bukan setakat pada buku kuliah semata-mata.


Ok. Yang terbaru, saya beri mereka lihat video yang ada mempunyai lagu dan isinya berkaitan dengan kesalahan-kesalahan lazim tatabahasa. Hampir 80% faham. Minggu seterusnya, saya bekalkan slaid yang dipenuhi dengan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat pada papan tanda dan mereka mampu membetulkannya dengan baik. Malah, ada yang gelak-gelak selepas melihat ejaan yang salah. Itu dah cukup untuk menunjukkan mereka faham. Untuk pengetahuan pembaca, mereka ialah pelajar-pelajar yang tidak kredit bahasa Melayu atau mungkin gagal dalam peperiksaan.

Selepas itu, saya memberi tugasan yang berbentuk aktiviti iaitu mengarah mereka mencipta produk atau barangan (kraftangan barangkali) untuk dibawa ke kelas. Produk yang dihasilkan ini akan dijual di dalam kelas dan jika boleh dijual di luar pun tidak ada masalah bagi saya. Yang penting, aktiviti di dalam kelas itu boleh berjalan dengan lancar.

Saya mengajar kelas bisnes ke? Tidak. Sambil menyelam minum air. Saya cuba untuk mengajar mereka buat bisnes, mempromosi barangan dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul - menggunakan slogan yang menarik dan yang lebih penting saya cuba menerapkan elemen retorik dalam setiap persembahan produk mereka.

Jadi, pada fikiran saya mereka akan lebih berusaha untuk menarik perhatian pelanggan dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan pemilihan kata yang bagus.


Setakat itu yang boleh dikongsikan. Lain kali cerita lagi *lagu Sudirman. hehe..


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...