Wednesday, September 10, 2014

Kembalinya Sepupuku ke Rahmatullah

Terkejut dan masih dalam keadaan tidak percaya menerima khabar daripada emak bahawa sepupuku, Kak Cik Malia telah pun kembali ke rahmatullah malam semalam kira-kira jam 1130 malam macam tu.

Kak cik merupakan sepupu yang sama umur denganku. Pernah mendapat keputusan UPSR yang sama. Kemudian sama-sama buat rancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Malangnya, lain bidang. Dia anak kepada abang ayahku. 

Seorang yang comel dan kami tidak pernah bersengketa sejak dari kecil lagi. Mempunyai senyuman yang manis dan konfiden yang sangat tinggi walaupun orangnya kecil sahaja. Anak bongsu dan manja. Dia menjadi kebanggaan keluarga, mungkin kerana jawatannya di sektor kerajaan. Tidak meninggi diri dan seorang yang periang serta gemar membuat jenaka. 

Sebulan yang lepas kami bergurau senda. Pasal telefon, pasal keberanian dan lain-lain. Aku sekadar tahu Mak Lang dan Pak Lang sakit. Lepas tu katanya kak cik juga sakit tapi macam demam-demam biasa. Tadi bila tanya mak, katanya perut kak cik besar macam busung.. kak cik muntah dan batuk berdarah! 

Doktor sendiri tak tahu apakah penyakitnya. Ya Allah! Sungguh terkejut dan aku sedar bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Maka, tidaklah kita hidup bertongkatkan langit kerana kita juga akan pergi ke alam yang sama. 


Mungkin terasa usianya begitu muda, padahal sebaya denganku. Sesungguhnya Allah swt mengirimkan khabar bahawa masa kita juga sudah tidak lama lagi. Menunggu giliran untuk dijemput-Nya juga. 

Apapun sedikit terkilan kerana sejak bermastautin di bumi KL ni, banyak saudara mara yang kembali ke rahmatullah tidak dapat dikunjungi. Apapun jauh di sudut hati, aku kirimkan doa dan kasih sayang ini sentiasa mekar walaupun kita tidak akan berjumpa lagi di dunia. Namun suatu masa nanti, kita semua pasti akan berjumpa. 

Semoga roh kalian tenang di sana. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...