Thursday, July 21, 2016

Penceraian dan Wanita

Rasanya hari ini terpanggil untuk menulis isu penceraian.

Perkahwinan itu ialah sebuah mahligai indah yang diimpikan oleh setiap manusia baik lelaki mahupun perempuan. Namun begitu, terdapat beberapa faktor penting yang menyebabkan penceraian berlaku walaupun pasangan tersebut bercinta bertahun-tahun lamanya.

Antaranya adalah seperti masalah kewangan, sikap pasangan yang panas baran, masalah komunikasi, tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik, tidak setia kepada pasangan dan sebagainya. Semua ini didasari oleh satu faktor yang utama iaitu kurangnya didikan agama.

Kaum wanita merupakan satu golongan yang sering menjadi mangsa. Kes yang melibatkan lelaki sebagai mangsa tidak banyak. Jadi, atas keprihatinan saya sebagai seorang wanita, saya ingin menghuraikan kes ini berdasarkan mata saya dan juga beberapa pengalaman orang sekeliling termasuk diri sendiri.

Wanita mahukan penceraian! Ya, saya akui. Baru-baru ini seorang teman saya bersungguh-sungguh untuk memfailkan penceraian kerana sikap suaminya yang tidak bertanggungjawab. Apabila diajak berbincang, suaminya lebih suka mendiamkan diri dan tidak mahu peduli dengan luahan wanita terbabit. Segala tanggungan rumah juga dilaksanakan sepenuhnya oleh si isteri. Apa yang saya nak tekankan di sini, jika seorang isteri menanggung semua tanggungjawab iaitu tempat tinggal, anak, makan, minum, segala bil dan keseluruhannya, bermakna lelaki harus mengambil tahu bahawa lambat-laun anda tidak akan panjang jodoh dengan isteri anda. Kenapa? Isteri menganggap dia mampu dan tidak memerlukan seorang manusia yang tidak mampu menjadi ketua rumah yang baik. Kalau ada pun yang setia dan menyayangi anda, tidak pasti hingga bila.

Teman saya menghantar mesej kepada saya, dan dia memberitahu bahawa dia telah menerima ucapan "TAHNIAH!" daripada seisi keluarga dan teman-teman lain. Wah! Bukankah penceraian itu sepatutnya diucapkan takziah dan mendoakan perempuan itu bersabar??? Jelas sekali bahawa jika sebuah perkahwinan itu membebankan seorang perempuan, orang di sekeliling akan menganggap penceraian itu merupakan jalan terbaik.

Hal ini agak berbeza jika kita melihat dari sudut seorang perempuan yang tidak mempunyai pekerjaan dan ditanggung sepenuhnya oleh si suami. Segala kejahatan si suami harus ditelan dengan pahit. Hanya juraian air mata dan tekanan sahaja yang dialami oleh perempuan itu. Kadang-kadang kita pernah mendengar bahawa ada isteri sanggup mengenakan nasi kangkang kepada suaminya. Bagi saya, perbuatan itu memang salah dan berdosa besar di sisi agama Islam. Namun, si suami juga harus berhati-hati kerana sikap andalah yang menyebabkan seorang isteri itu dilanda tekanan.

Mungkin kita anggap penceraian itu tidak elok untuk perkembangan anak-anak. Namun begitu, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri dengan menyeksa jiwa isteri seperti tidak menghiraukan mereka, tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik, menipu, berlaku curang dan sebagainya. Perempuan itu ialah manusia. Anda sebagai suami juga manusia. Fikirkan kebarangkalian tindakan jika anda di tempat isteri anda. Begitu juga sebaliknya.

Jika saya? Saya lebih suka memikirkan untuk bertoleransi dan berbincang. Saya orang yang mudah kira. Jika pasangan tidak mempunyai nilai-nilai seorang suami, tidak mempunyai perasaan lagi, atau apa-apa yang mengundang perkelahian setiap masa, saya lebih suka duduk dan berbincang. Penyelesaian akan diambil berdasarkan perbincangan tadi. Bersedih jika bercerai? Siapa yang tak sedih tetapi hidup ini mesti diteruskan. Masih banyak perjalanan dan liku hendak dilalui. Penceraian bukan penamat hidup. Ya, saya pernah melaluinya. Alhamdulillah, saya masih bernafas dan sekarang mempunyai keluarga baharu.

Perasaan menyesal kerana tidak bersabar dahulu menghantui saya. Namun begitu, saya anggap itu semua ialah takdir Tuhan. Apa yang diaturkan kepada kita untuk hari depan perlu kita lalui dan terima.

Penceraian itu memang dimahukan oleh perempuan jika seorang lelaki tidak mampu menjadi seorang suami yang baik. Malah, mereka pasti bahagia jika berpisah dengan anda. Haha.. Moralnya di sini, jadilah seorang suami yang bertanggungjawab. Isteri pula haruslah bersabar dan menimbang baik buruk sebelum membuat sebarang keputusan.


Ok. Bye

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...